Nurul nasihatkan calon bertanding jangan guna bahasa kesar, kesat

Nurul nasihatkan calon bertanding jangan guna bahasa kesar, kesat

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menyarankan semua calon dan pimpinan PKR supaya menggunakan bahasa yang lebih hormat dan mesra.

Malah katanya menggunakan bahasa yang kesat dan kasar bukan budaya yang baik dan seharusnya tidak menjadi amalan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali yang mendakwa beliau bukan ‘barua’ Mahathir, tetapi ‘barua’ rakyat negeri Selangor semasa majlis Semarak Muafakat di Hotel De Palma, Kuala Selangor kelmarin.

Kata Nurul lagi, siapa sahaja boleh bersaing dan bertanding dengan sihat dalam proses pemilihan parti.

Namun begitu katanya, menggunakan bahasa yang kesat dan kasar tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Sebaliknya ia akan menimbulkan rasa kurang senang sehingga mencetuskan pelbagai persepsi.

Menyentuh mengenai peluang beliau memenangi kerusi Naib Presiden PKR kali ini, ia berkata masih terdapat beberapa cabang lagi yang akan melaksanakan pemilihan parti.

“Selain itu terdapat juga beberapa lagi calon yang turut mendapat sokongan.

“Oleh kerana itu kita mengharapkan segalanya berjalan dalam suasana kekeluargaan.

“Sama ada mahu atau tidak, harus yakin bahawa kita adalah dalam sebuah parti,” tegasnya sewaktu ditemui pada majlis anugerah sempena Hari Kecemerlangan Pelajar SK Mengkuang, Bukit Mertajam semalam.

 

COMMENTS