Nurzaiti fokus bidang pendidikan di Dun Balingian

Nurzaiti fokus bidang pendidikan di Dun Balingian

Calon Parti Amanah Negara (Amanah) Dun Balingian Nurzaiti Hamdan bersedia berpindah dari Bintulu dan menetap di Balingian bagi memajukan bidang pendidikan di kawasan itu.

Bercakap kepada Sarawak Voice, Zaiti, 37 berkata isu pendidikan merupakan agenda utama yang akan dibawanya jika menang dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

“Insya-Allah demi kasih sayang saya kepada penduduk Balingian, saya akan berpindah dari Bintulu.

“Saya akan tinggalkan kediaman, saya akan tinggalkan kehidupan saya di sekolah untuk bersama-sama penduduk Balingian membawa suara mereka di Dun,” katanya.

“Jika terpilih di Balingian, kamek (saya) akan jadikan isu pendidikan agenda utama.

“Hanya dengan ilmu, kita mampu keluar daripada kepompong kesusahan kerana dengan pendidikan kita mampu mengubah hidup,” katanya.

Ketua Angkatan Wanita Amanah (Awan) Sarawak ini juga merupakan aktivis kemanusiaan yang membawa misi Aqsa Syarif sehingga ke Jordan, Lubnan dan memasuki kawasan bergolak zon perang di Damsyik, Syria.

Justeru beliau bersedia menggunakan pengalaman berharganya untuk memajukan bidang pendidikan di Balingian dan berazam memperjuangkan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Balingian.

Selain itu, Zaiti berkata lebih banyak kemudahan asas perlu dibangunkan untuk dinikmati penduduk setempat secara adil dan saksama.

“Perkara yang kelihatan asas, mungkin sik (tidak) terasa buat sidak (mereka) yang selesa dengan pelbagai kemudahan. Giney (bagaimana) keadaannya hidup sidak yang sik merasa keperluan asas ya (itu)?”

Yakin kemenangan berpihak kepada beliau, Zaiti bertekad menjadi suara yang menggegar dan membawa desakan rakyat ke Dun, terutama dalam isu kemudahan atau keperluan asas penduduk Balingian.

“Kamek nak kerja untuk rakyat. Penduduk boleh jumpa saya sendiri, tanpa protokol, maksudnya tiada orang tengah untuk menyuarakan hasrat mereka.

“Tiada PA, tak ada. Mereka boleh jumpa saya bila-bila masa. Mereka boleh suarakan masalah mereka. Dan insya-Allah saya akan bawa suara mereka ke Dun. Itu janji saya kepada mereka.” katanya.

 

TAGS

COMMENTS