NUTP yakin usia 18 cukup matang, guru dilatih berasingan memahami landskap politik

NUTP yakin usia 18 cukup matang, guru dilatih berasingan memahami landskap politik

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yakin usia 18 tahun sudah boleh diiktiraf sebagai cukup dewasa dalam memahami landskap politik di negara ini

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, suasana persekolahan dan juga persekitaran moden mempengaruhi pemikiran generasi yang telah mencapai umur 18 tahun itu.

Aminuddin Awang

Katanya, mereka (umur 18 tahun) itu telah terdedah kepada maklumat yang luas, pengaruh media massa dan kemajuan teknologi maklumat yang menjadikan mereka sebagai kumpulan pintar, matang berfikir, berdikari dan lebih berpengetahuan.

“Kita jangan lagi berfikiran di takuk lama iaitu beranggapan bahawa hanya mereka yang pandai bercakap tentang politik di kedai-kedai kopi sahaja yang matang tentang isu politik.

“Atau hanya golongan yang selalu menghadiri ceramah-ceramah politik sahaja yang bijak dan memahami tentang politik.

“Sejak dahulu lagi, kerajaan telah membenarkan warganegara yang berumur 18 tahun layak membuat permohonan lesen memandu, lesen perniagaan, memohon pinjaman kewangan.

“Selain itu, mereka juga dibenarkan menyertai pasukan keselamatan, tentera atau polis, menandatangani apa-apa kontrak dan perjanjian serta dianggap dewasa untuk berkahwin,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, warganegara yang berumur 18 tahun yang terbabit dalam kesalahan dan perbicaraan di mahkamah, dianggap sebagai dewasa dan dibicara dan jika disabit kesalahan, mereka menerima hukuman sebagai rakyat dewasa yang bertanggungjawab atas kesalahannya.

“Perkara itu jelas menunjukkan umur 18 tahun sudah dianggap matang,” katanya lagi.

Guru perlu latihan berasingan

Beliau juga berpendapat, guru-guru perlu diberikan latihan berasingan sekiranya aspek berkaitan pendidikan politik berteraskan kenegaraan hendak dilaksanakan.

Bagaimanapun ujarnya, pelajar-pelajar tidak sepatutnya diajar berkaitan politik kepartian semasa yang ada dalam negara, kerana ia akan mewujudkan suasana negatif.

Ini kerana setiap individu sama ada guru atau keluarga pelajar itu mempunyai pegangan politik mereka yang tersendiri.

“Sekiranya pihak kerajaan komited ingin memberikan kefahaman berkaitan isu tersebut bermula daripada peringkat sekolah lagi, pemahaman berkaitan politik dan kenegaraan sahaja yang perlu diajar.

“Dalam hal ini, ia bukanlah beban kepada guru kerana proses pengajaran dan pembelajaran merupakan tugas profesional seorang guru.

“Dari segi kesediaan guru-guru pula, pihak NUTP berpendapat, mereka (guru) perlu diberikan latihan berasingan sekiranya aspek berkaitan pendidikan politik dan kenegaraan hendak dilaksanakan.
“Tetapi apa yang kami pertikaikan adalah, apabila guru-guru diberikan tugasan yang langsung tidak ada kena-mengena dengan kerja guru, yang mana kerja-kerja diberikan kepada guru itu sepatutnya dilaksanakan oleh pihak lain,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Dalam perkembangan sama, walaupun had umur mengundi telah diturunkan daripada 21 tahun ke 18 tahun, Aminuddin berkata, pihaknya amat tidak bersetuju jika subjek baharu khusus yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran pendidikan politik dan kenegaraan itu diwujudkan.

Beliau berkata, ini kerana guru-guru di sekolah sudah berhadapan dengan terlalu banyak subjek yang tidak relevan dan perlu diingatkan juga, sekolah dan guru-guru bukan tempat untuk menyelesaikan semua masalah negara.

“Sekiranya kefahaman yang lebih jelas hendak diberikan kepada pelajar, ia hanyalah sesuai disisipkan dalam subjek Pendidikan Sivik dengan membuat sedikit penambah baikan terhadap subjek ini.

“Selain itu, elemen pemahaman terhadap politik dan kenegaraan ini juga boleh dimasukkan dalam aktiviti kokurikulum sekolah menengah, khususnya kepada pelajar tingkatan 4 dan tingkatan 5,” jelasnya lagi.

Beliau menjelaskan demikian ketika diminta mengulas berhubung kewajaran pengajaran dan pembelajaran jika subjek berkaitan pendidikan politik dan kenegaraan, dirangka khusus oleh pihak kementerian atau pun ia hanya perlu ditambah dalam silibus sedia ada.

Baca: Pendidikan peperiksaan dan kokurikulum