Malaysia Dateline

Nyah senaraian FGV, kejayaan bermakna buat peneroka

Bekas Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Aliman akan terus memperjuangkan sehingga Felda Global Venture (FGV) Holdings Berhad dikeluarkan dari penyenaraian Bursa Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan usaha kerajaan melalui Felda yang berjaya menguasai 77 peratus saham dalam FGV dan memerlukan lagi baki 13 peratus pegangan ekuiti, sebelum proses nyahsenaraian berjaya dilakukan.

Beliau menegaskan, sejurus FGV dikeluarkan dari bursa saham, Felda perlu menstruktur semula pengurusan FGV melalui urus tadbir yang baik dengan penyusunan semula perniagaan FGV secara fokus.

“Susun semula perniagaan FGV dengan fokus kepada perniagaan utama dan perniagaan yang bersinergi.

“Pulihkan anak-anak syarikat yang bermasalah dan berprestasi rendah.

“Perniagaan yang bukan teras atau tiada kena mengena dengan sektor perlu dikaji semula atau dinyahkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut Mazlan berkata, pengalaman Tabung Haji (TH) dari segi pemulihan anak-anak syarikat agensi itu boleh dijadikan panduan, manakala pngalaman pahit Felda masa lalu yang dikaitkan dengan skandal dan penyelewengan perlu dijadikan iktibar.

FGV menurutnya adalah aset paling bernilai buat Felda dan menjana pendapatan utama demi keselesaan para peneroka.

Beliau juga mengingatkan semua pihak untuk tidak sesekali mengkhianati hak peneroka, apatah lagi mementingkan agenda peribadi demi mengaut keuntungan.

“Saya dan rakan rakan Ngo akan terus memantau perkembangan ini termasuk pengumuman memuktamadkan penyata hutang peneroka mei ini,” ujarnya.