Malaysia Dateline

Nyahkan Jasa dari Belanjawan 2021, desak Mat Sabu

Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu menggesa agar Belanjawan 2021 membatalkan peruntukan sehingga RM85 juta untuk unit propaganda politik kerajaan.

Beliau berkata, apabila Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dihidupkan semula, ianya dijangka akan terus memainkan isu-isu perkauman dengan lebih hebat.

Katanya, Langkah Sheraton sendiri telah menyaksikan bagaimana kerajaan Perikatan Nasional (PN) cuba membawa isu perkauman dengan mewujudkan kerajaan Melayu Islam tanpa DAP.

“Bila dihidupkan semula JASA, sudah tentu lah isu perkauman akan dimainkan.

“Ya, gerakan Sheraton bermula antara bisikan kepada kita iaitu kita perlu mewujudkan kerajaan Melayu Islam tanpa DAP. Mereka mainkan isu perkauman begitu dahsyat.

“Sekarang dengan adanya peruntukan lebih RM80 juta, saya yakin kerja-kerja membina semangat perkauman ini akan di perhebatkan dan kita yang cuba wujudkan keharmonian pula akan terperangkap kalau tersalah urus,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2021 di sidang Dewan Rakyat hari ini

Bekas Menteri Pertahanan itu menegaskan, peruntukan kepada JASA yang akan membawa kepada mempertahankan pemerintahan melalui isu perkauman, perlu dinyahkan dalam belanjawan tersebut.

Menurutnya, ketika ini usaha perlu ditumpukan kepada peruntukan untuk membela ekonomi rakyat.