Malaysia Dateline

Nyawa, keselamatan petugas KKM adalah tanggungjawab rakyat

Mendengar keluhan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengenai kekurangan Pakaian perlindungan diri (PPE) dalam kalangan kakitangan mereka, Ahli Parlimen Hulu Langat Hasanuddin Mohd Yunus mengambil insiatif mencari dan membekalkan pakaian tersebut.

Menurut Hasanuddin yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), pihaknya sedang berusaha menyediakan PPE untuk disumbangkan kepada Jabatan Kesihatan Daerah Hulu Langat.

“KKM hanya boleh menampung keperluan itu hanya untuk 2 minggu sahaja lagi? Saya telah menyerah 100 set PPE kepada Pengarah Jabatan tersebut, Dr Zaliliza Suli di pejabat beliau,” katanya.

Dr Zaliliza menyambut baik kehadiran mereka dan mengharapkan ada lagi sumbangan PPE untuk pasukan mereka berhadapan dengan bahaya COVID19 yang sedang melanda negara.

“Pada Jumaat 17 April 2020, selepas mendengar maklumat terkini dari Jabatan Kesihatan Hulu Langat, kami telah berarak dari Klinik Kesihatan (KK) Beranang, KK Rinching, KK Semenyih, KK Batu 9 Cheras dan Batu 14 Hulu Langat untuk menyerahkan beberapa kotak Face Mask.

“Kami akan menyambung ke Bandar Seri Putra dan yang lainnya pada waktu yang sesuai selepas ini.

“Dari KK yang kami lawati kami mendengar maklumbalas baharu tentang keperluan-keperluan mereka yang lain pula,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan bahawa nyawa dan keselamatan petugas KKM adalah tanggungjawab rakyat sejak akhir-akhir ini.

“Kita perlu bangkit beramai-ramai membantu mereka,” katanya.