Malaysia Dateline

Nyawa rakyat mesti diselamatkan, PH tuntut Mahiaddin letak jawatan serta merta

Pakatan Harapan menuntut agar Perdana Menteri mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan menangani pandemik yang semakin hari semakin melonjak dengan meletakkan jawatan serta-merta.

Laporan harian jumlah kes positif COVID-19 yang mencanak naik (8,868 semalam dan 9,180 hari ini, dengan jumlah keseluruhan kes hampir 820,000) serta jumlah kematian yang kekal tinggi (135 semalam dan 77 hari ini, dengan jumlah kes kematian hampir 6,000).

Menurut Majlis Presiden Pakatan Harapan, rakyat dan negara tidak harus mengalami musibah sedemikian rupa semata-mata kerana kepimpinan Kerajaan dan Perdana Menteri yang gagal.

Apatah lagi, katanya selepas Perdana kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen dan seterusnya kehilangan keabsahan bagi memegang jawatan tertinggi tersebut.

“Nyawa dan kehidupan ekonomi rakyat mesti diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Lim Guan Eng.

Walaupun Kerajaan telah mengusahakan pelbagai langkah termasuk Darurat bermula 11 Januari 2021, PKP 3.0 bermula 1 Jun 2021 dan pelbagai PKPD, namun ianya gagal mengurangkan jumlah kes positif dan jumlah kematian akibat COVID-19.

Malah katanya, tatacara SOP yang mengelirukan, penguatkuasaan yang lemah dan terpilih, serta kebenaran kepada kilang-kilang untuk terus beroperasi walaupun ia antara penyumbang terbesar kluster COVID-19 telah menyebabkan rantaian jangkitan gagal diputuskan.

“Rakyat terus merana. Begitu ramai yang telah mengangkat bendera putih kerana hilang pekerjaan atau pendapatan.

“Bantuan Kerajaan demi kelangsungan hidup rakyat tidak mencukupi. Terlalu ramai yang telah putus asa, malah begitu ramai yang telah membunuh diri,” katanya.

Justeru, katanya jika dibenarkan berterusan tanpa sebarang perubahan, apa yang diungkap rencana Bloomberg hari ini – bahawa Malaysia menjurus ke arah ‘negara gagal’ – kian menjadi realiti.