Malaysia Dateline

Obor Akinabalu

Wahai Sabah,

Obor merah marak menyala di kaki langit

Cahaya penerang di gerhana tanah air.

 

Tanah ibunda puncak Akinabalu,

Saujana pepohon hijau belantara,

Saujana lautan biru ombak memantai,

Mutiara merdeka di benak kaum-bangsa pelbagai.

Pogun kolisihan di bawah bayu

membisik setangkai cinta ibunda pertiwi

pada sepi kami di tanah sini

menyelam di kolam doa seribu.

Tanah Timur dan Barat bersatu bina Bangsa Malaysia.

 

Basin Maliau subur fauna, subur flora,

Gajah pygmy, bunga rafflesia dan orang-utan,

di bibir pelancong kauukir seribu senyum.

Kaya sawit, kaya minyak, kaya balak.

 

Hairan! Hairan! Hairan!

Kekayaan ini ke mana perginya?

 

Wahai Sabah,

Saudara seperjuangan kemerdekaan

yang seakan tiada henti, tiada redanya.

Kami pahlawan silam pencinta ibunda pertiwi

di suatu ketika;

meronda lautan menemani nelayan segala,

menjaga aman ke pelusok Semporna,

mengejar lanun ke hujung laut Sulu,

bagai jentayu di bawah negeri bayu.

 

Kautulus, kaulurus

Piala jujurmu dipijak jijak

Politikus bercabang lidah dalam manis madu kata-kata.

Menikam pisau prejudis perkauman,

Racun sentimen rasisme, sentimen agama.

Kaujadi kabur, amu mogi iso-iso.

Terpenjara dalam gua pecah dan perintah,

kauhidup melarat, bergantung nafkah.

Sejujurnya kauarif membeda:

antara suara setan dan suara malaikat

Kaubukan katak di bawah tempurung.

 

Wahai Sabah,

Hampir 60 tahun kita Malaysia

Lagu basi tuan politikus berulang:

Oh! Sabah, kami membawa pembangunan beribu-ribu juta.

Tanpa tindak, tanpa tanduk apa-apa,

Oinggorit koposion poingompos,

 

MA63 hanyalah umpan di setiap senja pilihan raya.

Tanpa jujur, tanpa tekad para politikus

di negeri dan di pusat,

Permintaan 20 umpama bulan didakap awan gelap.

Berseloka berhujah mencari undi,

Mereka sibuk atur rencana peribadi.

Hakmu sisa nonsom bambangan dan bubur nasi,

Tangki air sebuah, outboard motor sebuah,

Duit RM 100 sekeping,

Inikah harga sebutir undi

di tanah kaya raya bernama Sabah?

 

Pendatang tanpa izin kian ramai,

Dulu, senyum senang dapat IC sesuka hati.

yang layak dibiar merayu meminta-minta

anak negeri dibiar terlalai mimpi

tika hak mereka dilanda badai rasuah

si anak masih petani miskin di sisi lembah.

 

Bah! Bangun!

Ini perjuangan maruah ibunda pertiwi.

Membakar penjahat menjawat pangkat

Bebaskan Sabah dari jembalang pembelot.

Biar mutiara merdeka di tiram hatimu

Menyinar cahaya berani :

dari Kudat,

ke Lundu

ke Padang Besar.

Di puncak Akinabalu bernyala obor merah merdeka.

 

Wahai Sabah,

Segala kekuatan di tanganmu

Tangkislah ombak binasa sandiwara politik.

Kaulah rakyat,

Kaulah panah keramat Akinabalu

Ke tangan takdir Yang Esa,

Kita serah segala titik tenaga dan ikhtiar,

Kita mendamba hujan sejahtera melimpah kurnia.

 

Wahai Obor Akinabalu merah marak

Nyalalah di jiwa tiap pencinta pertiwi

Nakhoda pembina Bangsa Malaysia

dalam suatu payung takdir di tanah air

eka swarna warna.

Oh! Obor Akinabalu.

 

(nukilan:

Saroja Theavy- 31 Ogos 2020)

————————————

The above sajak, Obor Akinabalu, was published by Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) during a media conference in Subang Jaya on 11 September 2020.