OBOR: Negara melanggari prinsip asas pengurusan risiko

OBOR: Negara melanggari prinsip asas pengurusan risiko

Melambakkan keseluruhan projek-projek pembangunan nasional ke tangan negara China  melalui  One Belt One Road (OBOR)  merupakan suatu langkah yang kurang wajar kata Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Tariq Ismail.

Beliau berkata, kerajaan harus memikirkan prinsip asas pengurusan risiko mementingkan kepelbagaian portfolio dalam pelaburan di negara ini.

“Semestinya Malaysia tidak kekurangan pihak yang berminat melabur bagi berkongsi risiko pembangunan strategik negara.

“Tetapi entah bagaimana kita tetap memilih untuk mengutamakan pelaburan negara China di dalam profail risiko pelabur kita. Kenapa?

“Adakah inisiatif “One Belt, One Road” tersangat menarik sehingga kita sanggup mengenepikan bukan saja pertimbangan ekonomi dan kewangan yang sewajarnya, tetapi juga pertimbangan sosial dan keselamatan?,” soalnya dalam kenyataannya.

Beliau mengulas mengenai pelaburan negara China ke Malaysia yang mana kini Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak mewakili negara hadir dalam Forum Jalur dan Laluan bagi kerjasama antarabangsa membabitkan 28 buah negara lain yang berlansung selama dua hari di Beijing.

Malaysia menjadi antara negara strategik di Asia Tenggara dalam rencana besar China mengerakkan gagasan Jalur dan Laluan untuk merancakkan kerjasama ekonomi antara negara.

Komitmen Malaysia terhadap inisiatif ini membuahkan hasil apabila beberapa projek infrastruktur bernilai berbilion ringgit seperti pembinaan laluan kereta api dan pelabuhan telah dimulakan.

“Saya tak rasa PM cuba menyampaikan kepada dunia bahawa hanya dengan menerima pelaburan dari negara China boleh kita membangunkan infrstruktur bertaraf dunia.

“Dengan membenarkan sesuatu pihak akses yang tak terhingga, melanggar prinsip-prinsip keselamatan di samping menjejaskan keselamatan dan juga ikatan hubungan luar negara kita.

“Mungkin patut kita ingat semula bahawa negara China berideologikan komunisma dan walau terdapat kelas mewah, mereka ini merupakan mereka yang tertakluk kepada kerajaan pusat.

“Saya tak bermaksud prejudis, semestinya Malaysia sentiasa meletakkan dirinya pada tahap bebas dan neutral.

“Namun ideologi sangat sensitif terhadap perubahan, dan suatu perubahan kecil mungkin menterbalikkan imbangan ideologi di Asia Tenggara kepada suatu ideologi yang tidak mendokong prinsip- prinsip Zon Keamanan, Kebebasan dan Nuetral (ZOPFAN),” ujarnya.

Katanya lagi,Malaysia sebelum ini lantang menyokong perjanjian sosial ini, bagi mengimbangi ideologi Asia Tenggara. Bagaimanapun dengan meletakkan negara China sebagai pelabur terbesar, ujarnya, Malaysia akan terhutang budi dan tertakluk kepada kehendak negara China.

“Di sini saya menyeru rakyat Malaysia, fikirkan apakah ideologi negara Malaysia tercinta ini?

“Pihak pembangkang bukan meminta supaya jangan dibina kemudahan bertaraf dunia. Kami lebih suka jika terdapat penyenggaraan bertaraf dunia bagi kemudahan bertaraf dunia yang sedia ada, sebelum kita membina lebih banyak kemudahan bertaraf dunia yang baru.

“Kami lebih suka jika kita perolehi pelaburan dan teknologi bertaraf dunia daripada mereka yang ikhlas menjadikan kita rakyat bertaraf dunia di dalam negara bertaraf dunia.
“Muktamadnya, kami inginkan ini semua tanpa menjejaskan maruah kita agar kita dihormati sebagai masyarakat bertaraf dunia, susah sangat kah?,” soalnya.

Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak telah membawa masuk pelaburan China ke Malaysia sejumlah RM144bilion dengan menandatangani 14 perjanjian dengan negara itu menerusi inisiatif  “One Belt One Road’.

COMMENTS

Wordpress (0)