OCBC perkenal “app onelook” untuk pelanggan iPhone X

OCBC perkenal “app onelook” untuk pelanggan iPhone X

Pelanggan OCBC Bank (Malaysia) Bhd yang menggunakan iPhone X, kini boleh mengakses aplikasi perbankan mudah alih menggunakan biometrik muka, susulan pengenalan aplikasi OCBC OneLook.

Ia membolehkan pelanggan hanya melihat iPhone X mereka untuk menyemak akaun dan baki kad, selain transaksi terkini. iphone X termasuk model iPhone XS, XS Max dan XR yang baru dilancarkan.

“Inovasi ini merupakan sebahagian daripada perjalanan perbankan digital bank secara menyeluruh, susulan pelaksanaan pengesahan cap jari OCBC OneTouch sebelum ini.

“Kami sentiasa mengenal pasti kaedah baharu untuk menawarkan pengalaman perbankan hebat yang mudah dan lebih terjamin kepada pelanggan kami,” kata ketua perkhidmatan kewangan pengguna, Lim Wyson, menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata dengan memanfaatkan teknologi pengecaman muka Face ID Apple, OCBC membolehkan pelanggannya melakukan perbankan setiap hari di aplikasi perbankan mudah alihnya tanpa perlu menggunakan kata laluan atau cap jari.

Mereka kini hanya perlu melihat pada iPhone X, katanya.

Untuk mengakses, pelanggan Perbankan Mudah Alih OCBC hanya perlu menekan ikon OCBC OneLook pada skrin log masuk aplikasi dan melihat telefon mereka untuk mendapatkan akses.

Untuk menggunakan kemudahan ini, pelanggan perlu melakukan pengaktifan sekali bagi OCBC OneLook pada aplikasi perbankan mudah alih di iPhone X masing-masing dengan ID Wajah Apple yang beroperasi pada sistem pengendalian iOS12.1.

Loading...

— BERNAMA