OIC perlu suarakan bantahan larangan pelarian masuk AS

OIC perlu suarakan bantahan larangan pelarian masuk AS

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu memanggil perjumpaan tergempar untuk membincangkan serta merangka strategi dan langkah diplomatik yang perlu diambil susulan tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump melarang kemasukan pelarian dari tujuh negara Islam ke negara berkenaan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Malaysia selaku anggota OIC yang melibatkan 57 negara Islam termasuk negara-negara yang terkesan akibat arahan eksekutif Presiden Trump perlu melibatkan diri.

“Ini bagi menjamin keadilan serta memupuk persefahaman di antara semua pihak yang terlibat.

“OIC perlu berbincang dengan pentadbiran AS melalui kesemua saluran diplomatik sedia ada demi menyelesaikan sebarang isu berbangkit,” katanya dalam satu kenyataan.

Trump pada Jumaat yang lalu mengenakan empat bulan sekatan terhadap pelarian yang datang ke Amerika Syarikat dan melarang buat sementara waktu kemasukan pelancong dari tujuh negara Islam.

Tindakan itu dikatakan bertujuan membantu melindungi rakyat Amerika daripada serangan pengganas.

Negara Islam tersebut ialah Syria, Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman, menurut kenyataan White House.

Sambil melahirkan kekecewwan dengan tindakan Trump itu, Wan Azizah berkata, walaupun isu imigresen dan kawalan sempadan adalah hak setiap negara, namun larangan umum tersebut amat dikesali dan menampakkan tahap kepercayaan yang wujud antara pentadbiran AS dan dunia Islam.

COMMENTS

Wordpress (0)