OIC selar tindakan eksekutif Trump halang tujuh negara Islam ke AS

OIC selar tindakan eksekutif Trump halang tujuh negara Islam ke AS

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyelar dan mengutuk keputusan Presiden Donald Trump ekoran perintah larangan pelarian dan pelancong dari tujuh negara ke Amerika Syarikat (AS).

OIC dalam satu kenyataan dipetik Agensi berkata, tindakan kontroversi Trump itu akan menimbulkan semangat radikal dan menjadi platform kepada keganasan.

“Tindakan dan diskriminasi seperti ini hanya akan memberi semangat kepada perkara radikal pelampau dan akan menyemarakkan keganasan apabila OIC telah terlibat dengan semua pihak termasuk Amerika Syarikat untuk memerangi ekstremisme dan keganasan dalam segala bentuk,” kata kenyataan itu.

Katanya, perintah eksekutif yang diluluskan Trump itu juga secara tidak langsung akan merumitkan lagi cabaran dan usaha untuk menangani isu pelarian.

“Akibat daripada pengharaman itu, ramai pelarian akan berdepan dengan penindasan yang lebih buruk dan penganiayaan,” katanya.

Serentak itu, OIC menggesa kerajaan AS supaya menimbang semula keputusan itu dan bertanggungjawab untuk memimpin serta menjadi harapan kepada keadaan pergolakan dunia.