OIC sokong penyelesaian politik dalam krisis Syria

OIC sokong penyelesaian politik dalam krisis Syria

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Khamis menggesa masyarakat antarabangsa untuk segera membantu pelarian Syria dan menyokong satu penyelesaian politik dalam krisis di negara itu, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Bercakap dalam satu persidangan berkaitan Syria dan rantau itu yang berlangsung di Brussels, Setiausaha Agung OIC Yousef bin Ahmad Al-Othaimeen berkata usaha mencari satu penyelesaian politik kepada krisis itu harus disokong.

Perang saudara yang berlanjutan sejak 2011 telah membawa kepada kematian kira-kira sejuta orang manakala sejumlah 13 juta penduduk lagi memerlukan bantuan.

“Kira-kira 11 juta orang terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka,” katanya sambil menggesa komuniti global menubuhkan satu “dana kecemasan” bagi membantu pelarian terbabit.

Al-Othaimeen berkata OIC menyokong satu penyelesaian politik yang akan menyumbang kepada penubuhan sebuah negara Syria berdasarkan pluralisme, demokrasi dan sistem sivil selain menghormati hak-hak asasi manusia.

— BERNAMA