OKU antara calon Amanah bagi PRN Sarawak

OKU antara calon Amanah bagi PRN Sarawak

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara (Amanah) malam tadi mengumumkan seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) antara 13 calon mereka yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 kali ini.

Rapelson Richard Hamit,30, seorang anak jati Sarawak diberi penghormatan menggalas tugas sebagai calon Amanah bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) N.26 Gedong.

Pengumuman dibuat Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub pada majlis memperkenalkan 13 calon Amanah di Hotel Grand Continental di sini malam ini.

Dilahirkan pada 13 April 1986, Rapelson berkelulusan Sarjana Muda Sains Sosial Dengan Kepujian Kajian Perancangan dan Pengurusan Pembangunan, Universiti Malaysia Sarawak dan kini berkerja sebagai Pegawai di GIS And Remote Sensing.

Sebagai aktivis hak asasi manusia dan NCR, beliau sangat aktif dalam Sarawak Dayak Iban Association (SADIA).

Ditanya isu yang akan diperjuangkan pada PRN kali ini, beliau yang sebati dengan perjuangan hak asasi rakyat berkata, isu tanah adat akan menjadi isu utama yang akan diperjuangkan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Amanah kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi salah seorang calon pada pilihan raya ini.

“Saya juga akan membawa isu bebanan ekonomi rakyat khususnya berhadapan GST dan isu kemiskinan rakyat di negeri ini,” katanya.

Biarpun ditakdirkan lahir sebagai OKU, Rapelson berkata kekurangan fizikal yang dihadapinya bukan penghalang kepada semangat juangnya untuk membela rakyat.

“Saya tidak menganggap keadaan fizikal saya ini sebagai satu kekurangan kerana saya mampu melakukan semua tugas yang dilakukan oleh orang biasa yang lain,” katanya.

Sementara itu, kesemua 13 calon Amanah yang diperkenal malam itu turut menerima watikah untuk menjadi calon pilihan raya mewakili Amanah yang disampaikan oleh Timbalan Presiden Salahuddin Ayub.

Calon-calon yang diumumkan malam tadi adalah seperti berikut, 

1. Muhammad Fidzuan Zaidi (Demak Laut),

2. Nani Sahari (Samariang),

3. Abang Abdul Halil Naili (Muara Tuang),

4. Othman Mustapha (Sadong Jaya),

5. Andrew Jain (Sebuyau),

6. Rapelson Richard Hamit (Gedong),

7. Andri Zulkarnaen Hamden (Beting Maro),

8. Jini Sahini (Kabong),

9. Sufian Julaihi (Kuala Rejang),

10. Fadillah Sabali (Semop),

11. Ibrahim Bayau (Daro),

12. Kiprawi Sabali (Jemoreng) dan

13. Nurzaiti Hamdan (Balingian).

TAGS