OKU bukan sekadar perlu penjagaan kebajikan

Oleh ARIF ATAN

Ahli Dewan Negeri Pandan Indah, Izham Hashim menegaskan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) bukan sahaja memerlukan tumpuan dari segi kebajikan semata-mata.

Menurut Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, mereka terbabit juga mesti dibantu dari segi pembangunan aspek sosio-ekonomi.

“Jangan ada yang anggap mereka (OKU) hanya perlukan (penjagaan) kebajikan sahaja. Mereka juga perlukan pekerjaan, sumber pendapatan, kemahiran sebagaimana orang yang normal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Salam Iftar Bersama OKU anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pandan Indah dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ummah Selangor yang dipengerusikan Naib Pengerusi AMANAH negeri, Ustazah Mariam Abdul Rashid.

Mengulas lanjut, Izham memberitahu Selangor adalah satu-satunya negeri yang membentuk Majlis Tindakan OKU (MTOS) yang turut melibatkan golongan itu dalam barisan ahli Lembaga Pengarah.

“Ia satu badan yang dipertanggungjawabkan untuk mengkaji dan menentukan dasar-dasar atau pelaksanaan program yang akan membantu meningkatkan martabat OKU di negeri Selangor.

“Penglibatan OKU dalam ahli Lembaga Pengarah pula bagi memastikan perjalanan MTOS bukan sahaja ditentukan oleh mereka yang faham tentang keperluan OKU tetapi mereka yang menempuhi sendiri kehidupan sebagai OKU,” ujarnya.

Pengerusi AMANAH Selangor itu berkata, penyertaan OKU dalam MTOS juga untuk memastikan dasar yang digubal benar-benar memenuhi hasrat dan keperluan golongan sasaran.

“OKU ini merangkumi tujuh kategori dengan skop yang luas termasuk sindrom autisme dan sindrom down. Difahamkan lebih 400,000 di seluruh negara tetapi yang berdaftar hanya kira-kira 5,000 orang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kejayaan sesebuah negara turut dinilai melalui usaha membangunkan tamadun madani dan memelihara kebajikan segenap lapisan rakyat.

“Kejayaan sesebuah negara bukan sahaja tentang banyaknya bangunan tinggi, jalan yang elok dan ramainya rakyat menggunakan kenderaan besar.

“Kayu ukur kejayaan negara bukan sahaja tentang kemajuan fizikal bahkan harus memenuhi keprluan pelbagai lapisan rakyat termasuk OKU. Inilah hal perlu diberi tumpuan dalam merangka pembangunan negara,” ujarnya.

Peminggiran golongan OKU dalam arus kemajuan negara, tegasnya, tidak harus berlaku.

“Kalau kita gagal untuk menjawab tentang keperluan rakyat, tentu lebih berat untuk menjawab kepada Allah nanti.

“Tanpa sokongan dan kerjasama tuan-tuan (golongan OKU) kami sendiri tidak mampu untuk memikul tanggungjawab yang sangat berat dan mencabar ini,” ujar Izham lagi.