OKU dibawa masuk hutan didik jati diri

OKU dibawa masuk hutan didik jati diri
Norhayati bersama pelajar dan krew di hutan Gunung Maokil.

Seramai 29 Orang Kelainan Upaya (OKU) telah dibawa untuk masuk ke hutan sebagai langkah mendidik jati diri di Pagoh, Johor.

Program yang dianjurkan oleh Adun Maharani, Johor, Norhayati Bachok itu telah diadakan di Gunung Maokil, Pagoh.

Program yang diberi nama ‘Maharani Mendaki’ itu turut membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahkota, Parit Raja, Muar, serta beberapa lagi syarikat dan NGO yang turut bersama.

Menurut Norhayati, program tersebut telah mendapat sambutan dari pelbagai pihak dan beliau menyatakan ini adalah suatu pengalaman baharu bersama dengan OKU.

“Semangat mereka (OKU) ini hebat dan kita tidak mendengar apa-apa keluhan sama ada penat atau sakit. Saya berbesar hati kerana dapat bersama dalam keseronokkan mereka.

“Tujuan saya hanyalah untuk memartabatkan golongan istimewa ini. Hajat saya adalah untuk menjadikan mereka insan yang mampu berdaya saing dengan insan normal yang lain.

“Saya mahu Pusat Khidmat Rakyat Dun Maharani, bukan saja mampu mendekati oleh orang awam malah mereka yang kelainan upaya pun mampu untuk didampingi,” ujarnya ketika ditemui.

Selain itu, Ketua Wanita PH Johor itu juga turut menyatakan bahawa akan ada pelbagai lagi aktiviti untuk golongan OKU tersebut dan lebih jauh lagi, beliau turut menyatakan hasrat untuk golongan itu mendaki gunung yang lebih tinggi seperti Kinabalu atau Everest.

Kartini Sahirin

Menurut Pengetua SMK Tengku Mahkota, Kartini Sahirin, terapi luar bilik darjah adalah salah satu konteks dan kaedah pembelajaran kepada pelajar-pelajar OKU.

Beliau turut berbangga kerana usaha pihak sekolah selama ini mendidik OKU akhirnya mendapat perhatian daripada pihak seperti Adun di Maharani.

“Perkara ini bagus untuk diikuti oleh kawasan-kawasan yang lain dan ia sangat meraikan serta memberikan kebajikan kepada pihak sekolah yang selama ini berusaha mendidik golongan OKU

“Aktiviti sebegini akan memberi impak besar kepada pelajar OKU kerana mereka akan belajar untuk bercampur gaul dengan masyarakat di luar tidak hanya selesa di sekolah.

“Sebelum ini program sebegini hanya diadakan oleh pihak sekolah saja namun berlainan kali ini ia banyak membabitkan individu dari luar,” katanya.

Untuk permakluman, program tersebut hanya membabitkan OKU yang ada permasalahan dalam pembelajaran dan fizikal yang sihat sahaja.