Malaysia Dateline

Oligarki politik

Drama lompat melompat dalam panggung politik negara mengingatkan saya kepada suatu perkataan/konsep yang amat popular satu ketika dahulu tetapi kini hampir tidak digunakan lagi iaitu oligarki. Wujudkah oligarki politik di ngara kita? Jika ia wujud maka bagaimanakah kita hendak menyatakan negara kita mengamalkan sistem politik demokrasi, jika dalam kenyataanya, oligarki yang berkuasa. Dalam hubungan ini demokrasi hanya menyediakan “panggung” bagi bertakhtanya oligarki.

Bayangkan tarikh 9 Mei 2018 menandakan kemenangan rakyat dalam menumpaskan pemerintahan Umno Barisan Nasional (UBN) yang memerintah negara sejak merdeka, tetapi tarikh 9 Mac 2020 kerajaan Perikatan Nasional dengan Langkah Sheraton menjatuhkan undian rakyat dengan membentuk sebuah kerajaaan yang tidak bersandarkan amanah dan mandat rakyat.

Siapakah di belakang gerakan-gerakan ini? Oleh itu bayangkan undian rakyat tidak memberikan makna apa-apa kerana harapan rakyat melalui Pakatan Harapan telah musnah. PH sehingga sekarang seperti kuda patah kaki namun sedang berusaha dan berjuang mendapatkan kembali mandat rakyat itu. Namun Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan lupakan mandate rakyat tumpu kepada PRU-15 pula.

Oleh itu tidak keterlaluan jika dikatakan tidak ada yang istimewanya dalam perjalanan demokrasi kita. Capaian demokrasi kita sebatas melaksanakan demokrasi elektoral atau demokrasi prosedural dalam pertandingan politik kenegaraan. Namun realitinya menunjukkan bahawa esensi demokrasi iaitu kedaulatan rakyat yang tidak didahulukan.

Adakah ini yang dinamakan demokrasi jika ia membelakangkan rakyat. Daripada langkah melompat itu apa yang ada hanyalah kedaulatan parti, itupun parti manakah yang berdaulat sekarang kerana jika wujud oligarki, ia telah merubah pendirian parti manakah yang hendak didaulatkan kerana ia tentunya bukan Umno lagi.

Perebutan kuasa antara Umno di satu pihak dan Bersatu di pihak yang lain untuk hegemoni seolah-olah ada tangan ghaib yang sedang bermain. Adakah wujudnya kelompok oligarki di negara ini yang sedang mencaturkan perencanaan politik sehingga membawa kepada kem dan kepuakan dalam Amanah?

Sejauhmanakah Umno yang telah lama menguasai negara melahirkan kelompok oligarki dan dinasti politik. Kelahiran oligarki politik kekadang boleh berasal daripada keluarga yang melahirkan pemimpin dan kemudian diwarisi oleh anak dan adik beradik dan kekadang kelompok akrab.

Namun di sebalik gegak gempita perayaan demokrasi setiap empat atau lima tahunan tersebut, satu fakta lain menyiratkan keadaan yang selalu terulang adalah banyaknya strategi dan percaturan politik diatur di belakang tabir.
Demokrasi prosedural dalam model pilihan raya hanya menyediakan panggung untuk para politikus, birokrasi dan pemodal politik dalam meraih kuasa, kurang modal untuk rakyat jelata dan kalangan terpelajar juga tidak memiliki modal kewangan yang mencukupi. Kekadang kalangan terpelajar bersekongkol, bersubahat dengan kelompok yang dinamakan oligarki ini.

Demokrasi telah memberikan ruang dan kebebasan bagi oligarki untuk bermain dan bersandiwara. Ini kerana dalam konsep demokrasi moden, hanya mekanisme demokrasi elektoral yang memungkinkan mereka untuk mencatur segalanya, platform para oligarki menguasai pemerintahan. Dalam demokrasi prosedural seperti pilihan raya umum, oligarki menempatkan aktor politik yang berada di bawah naungan dan pengaruh mereka.

Sejauhmanakah perkara ini berlaku di negara semasa pemerintahan Umno misalnya dan penyelidikan harus dilakukan?

Definisi sederhana oligarki adalah pemerintahan yang dipimpin oleh kalangan berduit dan berpengaruh, yang bekerja dan bertindak atas kepentingan sendiri dan kelompok mereka. Biasanya siklus oligarki dimulai ketika mereka tidak berada dalam kedudukan memimpin. Kekadang oligarki berputik daripada bekas pemimpin yang telah bersara dan meneruskan legasi dengan kalangan atau barisan pemimpin muda atau pemimpin pengganti yang dididik sama ada anak, kaum keluarga atau kalangan pemimpin yang terdekat.

Dalam kedudukan ini, oligarki merupakan kumpulan orang berduit dan berpengaruh secara politik dan ekonomi dan mereka membentuk jaringan parti dan pengusaha dan rangkaian perniagaan untuk membenih pengaruhnya.

Ketika pengaruh itu dirasakan sudah cukup kuat, maka misi selanjutnya adalah bagaimanakah menguasai pemerintahan.

Misi ini mudah kerana oligarki memiliki dua modal utama; kewangan (jaringan pengaruh dan kekuasaan pemilikan) dan politik (mewujudkan legasi dan jaringan pemimpin dan bawahan yang setia) sebagai asas yang cukup kuat untuk menguasai pemerintahan negara.

Di peringkat tempatan, oligarki yang muncul adalah oligarki lunak (soft oligarchy), mereka tidak sekuat oligarki elit di peringkat pusat yang berciri ekstrim (extreme oligarchy). Namun meskipun demikian, oligarki di peringkat tempatan ini juga amat mencengkam bagi kelangsungan demokrasi itu sendiri.

Oligarki di tahap tempatan adalah “cermin” dari oligarki di tahap elit pusat, namun dengan skala yang lebih kecil tetapi memiliki pengaruh cukup besar bagi perkembangan demokrasi kenegerian, bahagian, cabang, ranting atau daerah itu sendiri. Oligarki yang bersifat oligopoli dan monopoli akan menutup akses atau capaian ke sumber-sumber ekonomi dan politik bagi warga masyarakat yang bukan merupakan bahagian dari rulling oligarchy itu. Akibatnya, akses hanya berputar di sekeliling mereka iaitu para oligarki.

Oligarki menjalankan pemerintahan dengan bersandar pada kepentingan sekompok orang. Kekuasaan dalam oligarki terdiri dari seluruh kerangka institusi sosial yang berhubungan dengan pihak berkuasa, yang bermaksud ada dominasi dan pengaruh beberapa orang terhadap orang lain. Ada institusi, pihak berkuasa (kewenangan/kekuasaan) dan ada objek yang akan dikuasai atau didominasi. Objek yang dikuasai itu adalah rakyat, yang kesedaran politiknya dikaburi dan sukar menjejaki kerana oligarki bergerak dalam seribu satu wajah dengan rangkaian atau situasi tertentu, kekadang secara halimunan dengan ribuan proksi.

Kekuasaan digunakan untuk mengukuhkan kepentingan politik oligarki untuk selama-lamanya. Keuntungan politik dan ekonomi diperah, diraih dan digunakan semata-mata untuk kepentingan mereka sendiri. Oligarki tidak berpijak pada kepentingan kolektif, tapi kepentingan kelompok atau orang perseorangan.

Demokrasi bertentangan dengan oligarki. Jika dalam demokrasi, kekuasaan tertinggi adalah rakyat, maka dalam oligarki, kekuasaan tertinggi berada di tangan para elit penguasa. Rakyat hanya pada kedudukan bawahan di bawah kekuasaan oligarki. Segala tindakan dan keputusan yang dibuat, semata-mata ditujukan bagi kepentingan mereka iaitu para oligarki itu.

Oligarki tidak sihat bagi kelangsungan demokrasi kerana menuju kepada penyalahgunaan kekuasaan yang sangat luas, terstruktur dan besar. Oligarki cenderung kepada pemerintahan yang korup kerana tidak bersandar pada prinsip pemerintahan dan urus tadbir yang baik.

Adakah kerana ingin melanggeng kuasa, rasuah menjadi sebahagian daripada alat dan modus operandinya?

Namun walaupun sangat berkuasa, oligarki masih ada “cacat” atau kelemahannya. Oligarki tidak akan tumbuh dan berkembang dalam masyarakat awam yang kuat. Ini kerana masyarakat awam yang cerdas dan celik politik faham akan pengaruh dan kekuatan oligarki. Oligarki hanya kuat dalam keadaan masyarakat yang lemah secara ekonomi dan politik. Kemiskinan dan keawaman politik masyarakat adalah kunci kejayaan oligarki.