Oltmans yakin pemain negara mampu laksana tugas berdepan Jerman

Oltmans yakin pemain negara mampu laksana tugas berdepan Jerman

Jurulatih skuad negara Roelant Oltmans belum bersedia menyerah kalah dan percaya anak buahnya akan menampilkan aksi terbaik pada perlawanan terakhir Kumpulan D Kejohanan Hoki Piala Dunia 2018 berdepan juara dunia dua kali, Jerman di Stadium Kalinga di Bhubaneswar, India pada Ahad.

Malaysia kini menduduki tangga tercorot dalam Kumpulan D dalam kalangan empat pasukan setelah hanya mengumpul satu mata daripada dua perlawanan.

Skuad Malaysian Tigers mengalami kekalahan memalukan apabila dibelasah 0-7 oleh pasukan keempat dunia, Belanda dalam perlawanan pembukaan pada 1 Dis, sebelum berkongsi satu mata setelah seri 1-1 menentang juara dunia empat kali, Pakistan, selang empat hari kemudian.

“Tiada keraguan lagi bahawa kita tidak ada kelebihan memandangkan kita kalah teruk kepada Belanda. Tetapi segalanya belum berakhir sehingga tamat perlawanan terakhir.

“Jerman mengungguli kumpulan, maka ia cabaran besar bagi pasukan lain dalam perlawanan seterusnya. Kita akan melakukan terbaik untuk layak ke pusingan kedua, tetapi ia satu tugas yang sukar,” kata Oltmans seperti dipetik dalam laman sesawang Konfederasi Hoki Malaysia (KHM); www.mhc.org.my.

Penyerang kebangsaan, Faizal Saari yang pernah beraksi ketika menentang Jerman pada 2013, mengakui pasukan dari Eropah adalah pasukan sukar ditewaskan, tetapi menyatakan kesungguhan untuk meneruskan perjuangan pada kejohanan itu menjadi motivasi kepada pemain bagi meraih kemenangan.

“Pasukan Jerman sudah layak ke pusingan seterusnya, sedangkan kita beraksi untuk meneruskan perjuangan pada kejohanan ini. Saya pasti rakan sepasukan sama seperti saya bertekad untuk meraih kemenangan.

“Kita tahu ia sukar, tetapi kita perlu berusaha sebagai satu pasukan dan pastikan kita menutup segala ruang gerakan mereka,” katanya.

Malaysia dan Jerman sudah bertemu sebanyak 43 kali, dan pasukan di kedudukan keenam dunia itu menang 32 kali, tujuh kali seri, dan hanya tewas empat pertemuan kepada pasukan negara.

— BERNAMA