Malaysia Dateline

Ombak kecil yang berkocak dalam cawan Pas akhirnya reda selepas Nik Zawawi jadi SU Majlis Syura

Pergolakan dalam kepimpinan tinggi Pas dikatakan berakhir dengan pelantikan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat, Mokhtar Senik berharap Majlis Syura dapat melaksanakan peranannya susulan keputusan melantik semula Nik Zawawi yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu.

“Alhamdulillah, ombak kecil yang berkocak dalam cawan Pas akhirnya reda dengan terlantiknya Datuk Dr Nik Zawawi sebagai Setiausaha Majlis Syura mengantikan Dr Khairuddin At-Takkiri yang melepaskan jawatan tersebut beberapa hari lepas.

“Diharapkan dengan redanya kocakan itu, Majlis Syura akan dapat terus bergerak sesuai dengan sifatnya sebagai badan tertinggi di dalam Pas – badan yang berautoriti sebagai penentu dasar Pas dan penafsir kepada Perlembagaan Pas,” katanya menerusi hantaran di Facebook pagi ini.

Pas Nik Muhammad Zawawi Mokhtar Senik Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas  pergolakan
Nik Muhammad Zawawi

Dalam masa sama, Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat mengucapkan terima kasih kepada Khairuddin yang dianggapnya telah memainkan peranan yang baik sepanjang membantu Majlis Syura.

“Hanya Allah Yang Berkuasa membalas setiap kebaikan yang dilakukan,” kata Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pondok Semalaysia itu lagi.

Nik Zawawi dilantik semula sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas selepas lebih 10 tahun menyandang jawatan itu.

Pelantikan Ketua Dewan Ulama Pas itu ekoran peletakan jawatan oleh Khairuddin yang mengikut peruntukan perlembagaan parti mengikut Fasal 8(7).

Sebelum ini, kepemimpinan tertinggi Pas dilihat ‘berperang mulut’ secara terbuka sekaligus menggambarkan ketegangan dalaman parti yang berkerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) itu.

Susulan pengguguran Khairuddin Aman Razali sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mendesak parti membuat penjelasan kepada umum.

Walau bagaimanapun, gesaan anak Almarhum Nik Aziz itu diselar AJK Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Menteri Besar Kedah itu menegaskan parti tidak perlu mendedahkan secara terperinci alasan pengguguran tersebut sebaliknya memadai dengan alasan berpunca akibat isu disiplin.

Bahkan, Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin juga kesal dengan kelantangan Nik Abduh dan menegaskan Ahli Parlimen Bachok itu patut berjumpa sendiri dengan Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi mendapat penjelasan lanjut mengenai pemecatan itu.

Hashim juga berpendapat tindakan Nik Abduh yang mempersoalkan secara terbuka itu cuba mencetuskan kekeliruan dalam media sosial.