Malaysia Dateline

Ooo masa langkah Sheraton ok, sekarang tunggu PRU 15

Bekas timbalan menteri menempelak sikap sesetengah penganalisis dan pemimpin politik yang meminta Pakatan Harapan (PH) bersabar sehingga pilihan raya ke 15 untuk merebut kembali kerajaan.

Mohamed Hanipa Maiden, mantan Timbalan Menteri (Undang-undang) berkata, beliau tertanya-tanya di mana suara para penganalisa politik ini semasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan PH secara tidak bermaruah hingga digelar “kerajaan pintu belakang “atau “kerajaan tebuk atap” itu.

“Ya, di mana suara mereka ketika “Langkah Sheraton” digerakkan?

“Kenapa, pada masa itu, kita tidak dengar mereka menasihati PN agar tunggu PRU 15?” tanya Ahli Parlimen Sepang itu dalam satu kenyataannya.

Hanipa mengulas saranan penganalisis politik yang menyarankan agar PH memberi tumpuan kepada PRU-15 bagi mengambil kerajaan dan bukannya mengambil semula kerajaan pada masa sekarang.

Seorang pemimpin Umno pula dilapor dengan bangga menggunakan ucapan titah Yang Dipertuan Agong semasa hari perasmian sidang Parlimen pada 18/5/2020 yang lalu bagi menunjukkan kononnya kerajaan yang ada sekarang adalah “Kerajaan Tuanku” untuk membuktikan keabsahan kerajaan PN.

“Pertamanya, saya ingin ucapkan terima kasihlah kepada para pengalisis politik tersebut di atas analisa mereka.

“Maaf dan dengan penuh hormat jika saya kata bahawa analisa anda semua bernilai amat amat rendah dan hampir mencapai ke tahap tidak ada nilai.

“Saya tidak pasti di mana anda semua simpan disiplin ilmu anda,” kata Hanipa.

Menurut Hanipa, sekiranya kritikan mereka semua itu benar-benar jujur , cadangan itu sewajarnya ditujukan kepada PN yang membentuk kerajaan sekarang tanpa ada sebarang mandat rakyat dalam sebarang pilihan raya.

“Ia diakui sendiri oleh PM yang ada sekarang semasa berucap secara langsung di TV yang mana saya rasa ucapan itu mungkin sesuai dinobatkan sebagai ‘Ucapan Makcik Kiah!” kata Hanipa.

Bagi beliau, meminta agar PH menunggu sehingga PRU-15 bermakna membiarkan kerajaan ini berleluasa menjarah harta rakyat untuk beberapa tahun lagi.

“Seolah-olah kerajaanPN yang lebih besar saiz kabinetnya, yang begitu meriah mengagih-agih “ghanimah” kepada aktor aktor politik seperti pelantikan sebagai duta khas bertaraf menteri dan pelantikan dalam GLC bagi “membeli kesetiaan”, yang lebih teruja “membebaskan” insan yang terpalit dengan skandal mega 1MDB, amat wajar dibiarkan beberapa tahun lagi!

“Sedarkah para penganalisa ini tentang banyak perkara-isu imej negara, isu ekonomi, isu pelaburan asing, isu keyakinan pelabur dan lain-lain lagi,” katanya.

Bagi beliau, kerajaan PH yang ditumbangkan oleh kerajaan PN sekarang adalah kerajaan yang tidak ada sedikit pun “daki” ketakabsahan (legitimacy) sama ada dari sudut Perlembagaan, proses demokrasi atau dari sudut moral dan agama.

“Tiada sedikit pun elemen pengkhianatan dalam pembentukan Kerajaan PH. Ia dibentuk secara sah, secara bermoral dan beretika sambil menjunjung tinggi semangat dan ruh Perlembagaan Persekutuan.

“Ia adalah sepenuhnya kerajaan rakyat yang mewakili semua bangsa, etnik dan agama,” tegas beliau lagi.

Beliau mengaku, kerajaan PH itu tidaklah sempurna.

“Ada kelemahan di sini sana, namun siapa yang boleh menafikan kesungguhan kerajaan itu bagi membetulkan kerosakan yang amat teruk yang ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Kesungguhan ini boleh dilihat oleh ramai orang di dalam atau di luar negara,” katanya.

Menurut Hanipa, semasa beliau bertugas di luar negara atas kapasiti anggota pentadbiran kerajaan PH, ramai rakan sejawat beliau di luar negara yang bukan sahaja puji kerajaan PH malah berjanji untuk membantu lagi.

“Saya masih ingat mantan PM-YAB Tun Mahathir – sering mengatakan bahawa hanya setelah beberapa bulan kerajaan PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara, kejayaan menukar imej negara ini sebagai negara yang dikenali sebagai “negara kleptokrat” telah mula menunjukkan hasilnya,” katanya.