Siapa sangka, keputusan seorang ibu yang nekad untuk menikahkan anak kelainan upayanya (OKU) telah menjadi punca penderitaan panjang terhadap satu keluarga.
Terpaksa membesar bersendirian dalam pengabaian dan kesusahan, seorang wanita tampil membuat perkongsian mengenai hidupnya sebagai anak dari ibu OKU Mental.
Langsung tiada niat untuk mempersoalkan takdir Ilahi, berikut kami kongsikan luahan wanita dikenali sebagai Ziya yang mahu memberi kesedaran kepada orang ramai.
“Jika diberi pilihan, aku mahu lahir daripada rahim permaisuri raja atau wanita hebat. Namun Allah yang berkehendak dan mengatur apa jua milikNya. Namaku Ziya. Usia sudah cukup matang dan telah melalui jangka hidup yang panjang. Semoga luahan ini menjadi iktibar. Baik dijadikan tauladan, sebaliknya yang tidak baik pula ditinggalkan.
“Aku anak ketiga dari sembilan adik-beradik yang lahir dari ibu orang kelainan upaya (OKU) mental. Tahap pemikiran dan pertimbangannya adalah sangat rendah iaitu di bawah kadar normal. Ibu tidak mampu berfungsi sebagai wanita biasa. Bukanlah ibu yang menyayangi, melindungi, mendidik anak dengan nilai murni dan mendoakan.
“Ibuku anak tunggal. Atuk dan opah aku adalah orang yang berada kerana memiliki banyak hartanah. Kekurangan ibu sekaligus menyebabkannya sukar untuk disunting menjadi isteri. Ibu akhirnya bertemu jodoh secara penipuan. Dia dikatakan sebagai wanita normal yang mempunyai banyak kepandaian.
“Ayah pula terperangkap dalam perkahwinan. Tetapi memilih untuk meneruskannya kerana ayah anak yatim piatu dan miskin tidak berharta. Ketika itu, ayah berkerja sebagai SC (special guard) zaman komunis tahun 1950-an. Bagi menutup ketidakmampuan ibu, opah mengambil alih banyak tugas rumah tangga.
“Opah bertindak sedemikian kerana takut anaknya diceraikan. Ketika ibu melahirkan anak, opah mengambil tiga orang cucu yang terawal semasa masih bayi untuk dijaga dirumahnya. Akibatnya, rumah tangga opah berantakan sepanjang kehadiran anak-anak kecil dan berakhir dengan perceraian.
“Atuk merasakan kehendak lahir batinnya telah terabai. Opah tidur bersama cucu-cucu kecil yang rapat kelahirannya, berturut tahun. Ketika opah bercerai, aku berusia 10 tahun. Abang waktu itu 11 tahun dan kakak sulung pula berumur 13 tahun. Ketika itu, ibu sudah melahirkan anak yang keenam.
“Semua rapat-rapat, umur juga selang setahun. Selepas itu, bermulalah kehidupan suram aku kerana terpaksa mengikut opah yang diceraikan sehelai sepinggang. Ayah dan ibu hanya mahu kakak kerana boleh mengambil alih tugas menguruskan rumah tangga dan menjaga adik-adik. Kakak diberhentikan sekolah masa Darjah Lima.
“Ketika itu, abang adalah satu-satunya anak jantan kebanggaan mereka. Aku tidak diperlukan kerana masalah kemiskinan yang melampau, kebodohan (mental) ibu dan anak-anak juga sudah cukup ramai. Opah menyalahkan aku dan dituduhnya sebagai penyebab penceraiannya dengan atuk.
“Opah pulang ke kampung asalnya meninggalkan aku terumbang-ambing. Terpaksa datang ke rumah ibu dan ayah. Aku telah dihalau kerana membebankan mereka. Aku tolong juga kakak buat kerja rumah dan jaga adik-adik sejak dari mereka dilahirkan supaya diterima untuk tinggal di dalam rumah itu.
“Aku bertahan walaupun didera secara fizikal dan mental kerana sudah tiada tempat berlindung dan tempat makan. Aku juga sayangkan semua adik-beradik. Bagi meraih pendapatan, aku bersama kakak serta adik yang agak besar mula mengambil upah kerja dibendang, basuh kain di rumah orang dan sebagainya.
“Upah tersebut kami gunakan untuk membeli makanan. Gaji bapa di waktu itu, tidak mencukupi kerana dia bekerja sebagai jaga lombong selepas diberhentikan dari SC. Kami hanya bertemu ibu pada waktu makan dan malam sebelum tidur. Anak-anak yang kecil tinggal di dalam jagaan kami.
“Aku dijadikan sasaran ibu untuk melepaskan kemarahan jika ada yang tidak kena. Walaupun perkara itu bukanlah berpunca dariku termasuk kesalahan kecil yang remeh temeh. Aku disumpah seranah dengan bahasa yang kesat. Siap dicarut-marut dan tentunya dipukul tanpa sebarang belas ihsan.
“Apabila ibu mengamuk, aku terpaksa lari dengan terjun tingkap atau tangga untuk menyelamatkan diri kerana dia melemparkan apa sahaja yang tercapai termasuklah kayu api dan parang. Ayah pula sentiasa mendahulukan abang dari segi layanan. Dia dikecualikan dari kerja berat dan persekolahannya juga ditanggung.
“Hal ini kerana ayah berpegang kepada perinsip anak jantan panjang langkah. Anak perempuan pula ke ceruk dapur walaupun berpelajaran tinggi. Kerana kesempitan di dalam hidup dan pengabaian ayah, aku hanya sempat menghabiskan persekolahan setakat peringkat Darjah Enam sahaja.
“Anak-anak terpaksa menanggung beban penghinaan dari masyarakat sekampung kerana penampilan ibuku yang tidak semenggah. Kain yang dipakai ibu tak seberapa lekat dipinggang. Sikap pengotornya luar biasa dan najisnya hanya dikesat-kesat ikut sempat. Kebersihan diri jauh sekali. Pendek kata, buruk perangai dan buruk rupa.
“Kami dihalau jika datang ke rumah orang. Mereka takut kami meminta makan. Semasa kecil, kami busuk kerana belum tahu cara penjagaan diri dan ibu bukanlah sosok yang dapat dicontohi. Kami mengalami bebanan dan kesempitan dalam hidup, penghinaan orang luar, memiliki tempat tinggal yang tidak selamat serta kotor.
“Masalah yang dilalui menyebabkan kami mahu keluar segera daripada rumah untuk membina kehidupan sendiri. Kami terlalu penat dan sakit jiwa raga. Oleh kerana aku yang kerap dihalau dan tidak bersekolah, maka seawal umur 13 tahun sudah keluar dari rumah. Aku ke bandar Ipoh, bekerja sebagai pembantu rumah.
“Aku cuma mahukan kehidupan yang normal, ada tempat berlindung dan juga dapat makanan. Oleh itu, aku bekerja dari satu rumah ke satu rumah hinggalah ditakdirkan jadi pembantu kepada keluarga cikgu. Mungkin cikgu tersebut nampaklah aku sedikit bijak. Dia cadangkan aku mengubah kehidupan melalui pelajaran.
“Sejak tercicir dalam pembelajaran, jiwa aku tidak pernah padam untuk kembali bersekolah. Ketika itu, usia aku baru 15 tahun. Aku menduduki peperiksaan SRP atau Sijil Rendah Pelajaran sebagai calon persendirian dengan bantuan majikan. Dipendekkan cerita, aku berjaya tamatkan pelajaran di peringkat universiti pada awal tahun 1980-an.
“Akhirnya aku berjaya setelah melalui pelbagai ranjau dan duri. Sepanjang bekerjaya, aku tetap menghulur belanja kepada ayah dan sembilan adik-beradikku. Ramai lagi masih belajar. Sepanjang perjuanganku, Allah hadirkan insan-insan yang mulia untuk membiayai segala kos pengajian.
“Antaranya adalah majikan, pengetua Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), guru kelas Tingkatan Enam, Pengarah sekolah kejururawatan serta sekumpulan matron. Kini sudah lebih 10 tahun aku bersara dari jawatan pegawai kanan kerajaan. Suami juga pesara pegawai tinggi kerajaan. Kami memiliki lapan orang anak dan cucu-cucu.
“Semua anak-anak aku bekerjaya dalam bidang profesional. Ibu aku mencapai umur 90-an. Ayah sudah lama meninggal. Fasa penjagaan ibu amatlah mencabar kerana sudah sampai ke peringkat sangat gemar ‘bermain’ najis. Dia sangat puas jika dapat menyentuh dan melumur najis pada lantai, dinding serta badannya.
“Pada aku, ibu bukan nyanyuk. Memang itulah perangai asalnya sejak aku celik mata mengenalinya. Ketika dihalau dari rumah, aku tidak menoleh ke belakang dan berharap tidak berjumpanya lagi. Namun sudah ketentuan Allah, aku perlu menghadapnya lagi dengan perangai buruk yang memang sudah dijangka.
“Tidak seorang pun dari anak-anaknya ada perasaan terhadap orang tua ini. Mereka meletakkan tanggungjawab itu lebih kepada aku. Tak dinafikan, mereka juga terabai dengan sejarah membesar yang tidak elok tanpa penderaan fizikal. Sekiranya aku mencari kesalahan, takut jika mempersoalkan takdir pula.
“Biarlah dia terlepas peluang menghargai dan menatang sembilan permata. Asal aku tidak mengabaikan ganjaran terbesar dari Allah dengan menjaganya dihari tua yang tidak lagi bermanfaat atas orang hidup. Jika ibu kotorkan dan busukkan kediamanku, semoga Allah gantikan dengan rumah istana yang lebih baik disana kelak.
“Adik-beradik lain yang mengelak dari menjaga dan mengabaikan ibu itu sebenarnya sedang melepaskan ganjaran dari Allah. Ibrahnya, janganlah dinikahkan orang yang tidak cukup akal kerana zuriatnya pula terpaksa menanggung beban daripada kecil sehingga dewasa. Kami tidak mendapat kasih sayang.
“Anak-anak akan membesar tanpa nilai adab yang murni. Sudahlah tiada motivasi, bodoh, tiada tumpuan belajar dan kurang zat pemakanan pula. Malah, penghinaan yang melampau daripada orang ramai juga menyebabkan kami kehilangan jati diri dan sentiasa berada di dalam ketakutan.
“Aku sangatlah bersyukur kerana akhirnya dapat melepaskan diri daripada putaran ganas kemiskinan dan kebodohan. Ini hanyalah sekadar luahan daripada Ziya yang pernah terbuang.” Kongsi Ziya (bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman luahan atas talian.
Baca juga: Suami aku sibuk bayar zakat tapi culas bab nafkah aku, yuran anak tertunggak pun tak apa…”