Malaysia Dateline

Operasi 24 jam padam kebakaran di Sri Aman

Operasi 24 jam sedang dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memadamkan kebakaran di baki 80 hektar daripada 200 hektar kawasan yang terbakar di Sri Aman, Sarawak.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan hari ini berkata menurut laporan JBPM, operasi sejak semalam itu melibatkan 37 anggota termasuk 14 anggota bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM).

JBPM melaporkan kebakaran tersebut berlaku di beberapa kawasan iaitu Ladang STC berhampiran penempatan di Pekan Sri Aman melibatkan kawasan seluas 50 hektar, kawasan Kelauh (75 hektar) dan kawasan Kejatau-Lingga (75 hektar), kata kenyataan itu.

“Operasi pemadaman dibahagikan kepada tiga sektor dengan tumpuan diberikan kepada kerja-kerja “fire break” dan mendalamkan parit untuk dijadikan takungan air bagi pemadaman menggunakan lima buah excavator,” kata NADMA yang menerima laporan daripada JBPM.

Selain itu, dua buah prime mover dan dua buah fire rescue tender (FRT) turut digunakan untuk mengambil sumber air dari Sungai Kejatau dengan bantuan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Sri Aman, kata NADMA.

NADMA berkata JBPM melaporkan operasi di Jalan Kejatau-Lingga ditangguhkan memandangkan tiada penempatan dan fokus pemadaman tertumpu di Kampung STC yang berhampiran Bandar Sri Aman dan taman-taman perumahan.

Selain APM dan Jabatan Pengairan dan Saliran, agensi lain yang terlibat adalah Pejabat Residen, Jabatan Penerangan dan Jabatan Kerja Raya.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sri Aman mencatatkan bacaan tahap bahaya 301 pada pukul 6 pagi hari ini dan meningkat secara mendadak kepada 402 pada pukul 8 pagi. Bacaan pada pukul 6 petang ialah 406.