Malaysia Dateline

Operasi Ampang Park berakhir 31 Dis ini, pengunjung imbau nostalgia

Suasana suram menyelubungi kompleks Ampang Park di sini apabila kalangan pengunjung, termasuk pelanggan setianya yang mengambil kesempatan menjejakkan kaki buat kali terakhir bagi mengimbau nostalgia di pusat beli-belah yang bakal ditutup pada 31, Disember ini.

Selepas ‘berkhidmat’ selama 44 tahun, kompleks ikonik yang pernah menjadi tumpuan ramai bagi membeli keperluan harian, pakaian, restoran, membayar bil (pejabat pos), perkhidmatan perbankan, membaiki telefon pintar, kedai foto, khidmat penukaran mata wang sehinggalah hiburan seperti karaoke, bakal diroboh demi memberi laluan kepada pembangunan baharu.

Ibarat bakal kehilangan ‘sahabat’, begitulah perasaan ramai pelanggan terutama golongan berusia yang enggan melepaskan peluang merakam gambar dalam kompleks yang dibina pada Mac 1973 itu.

Ampang Park, dimajukan oleh Low Keng Huat Brothers Realty Sdn Bhd dan menelan kos sebanyak RM10 juta pada masa itu.

Pengunjung membeli belah di hari-hari terakhir Ampang Park beroperasi.

Selain mengunjungi kedai yang melakukan jualan murah dengan potongan harga sehingga separuh, ada pengunjung mengambil kesempatan mendapatkan maklumat lokasi baharu kedai manakala yang lain bersembang mengimbau kenangan di bangunan tersebut.

Shalina Tukiran, 47, yang berkhidmat sebagai kerani di Public Bank berhampiran, berkata beliau sering membeli-belah di Ampang Park sejak 1996 berikutan lokasi yang dekat dengan pejabatnya.

Tambahan pula ciri Ampang Park yang serba lengkap dengan pelbagai kemudahan bagi memenuhi keperluan ramai.

“Semua ada di sini daripada makanan, pakaian dan jam. Kami ke sini pun pada hari ini untuk merakam gambar berlatarbelakangkan paparan papan tanda Ampang Park itu,” katanya.

Bagi sekumpulan wanita berusia pula, Ampang Park menjadi lokasi mereka untuk bertemu sahabat sejak sekian lamanya.

“Kalangan anak muda tidak mungkin dapat merasai kesedihan sebagaimana yang kami rasai. Ini merupakan tempat kami kunjungi sejak dari zaman persekolahan dulu,” kata salah seorang daripada wanita itu.

Pemilik kedai kopi dari Sungai Petani, Kedah, yang hanya mahu dikenali sebagai Ooi, 76, yang sedang bercuti di ibu negara, pula mempunyai pandangan berbeza.

Beliau lebih memilih untuk melihat bangunan itu dimajukan sebagai tapak pembangunan dan stesen Transit Aliran Massa (MRT) serta sebahagian rangkaian Transit Aliran Ringan (LRT).

Baginya, sistem pengangkutan dan infrastruktur awam yang cekap jauh lebih penting sejajar pembangunan pesat di Kuala Lumpur.

Sudah terlalu banyak pusat beli-belah di sini. Bagi saya keperluan pengangkutan itu lebih penting berbanding nilai sentimental (untuk mengekalkannya),” katanya.

Ooi berkata, ini merupakan kunjungan pertama ke Kuala Lumpur selepas 20 tahun dan amat kagum dengan mercu tanda, kemudahan pengangkutan dan perkhidmatan berkaitan seperti Uber dan GrabCar. – Bernama