Operasi banjir Amanah turut bantu ketua pemuda Pas Kelantan

Operasi banjir Amanah turut bantu ketua pemuda Pas Kelantan

Operasi bantuan banjir Amanah Kelantan yang diketuai ketua pemuda Hazmi Hassan menggerakkan jentera ke seluruh kawasan yang terlibat banjir.

Paling menarik, pemuda Amanah turut memberi bantuan kepada ketua pemuda Pas Kelantan Ahmad Fadhli Shaari yang turut menjadi mangsa banjir.

“Dalam politik mungkin kita berbeza tetapi dalam misi kemanusiaan seperti ini kami ketepikan perbalahan politik dan turun menghulur tangan membantu mangsa banjir yang dalam kesusahan,” kata Hazmi yang kebetulan terlibat sendiri membantu menyelamatkan barangan dan dokumen penting di kediaman Fadhli semalam.

Dalam operasi membantu dan menyelamat banjir kali kedua, unit bantuan Amanah seluruh kawasan yang terlibat banjir digerakkan semula.

Pengarah gerakan bantuan banjir peringkat negeri Che Ibrahim Mohamed berkata pusat operasi kali ini bertempat di Wisma Tok Guru, Salor.

Pengarah lapangan diketuai Hazmi sendiri.

Menurutnya tatacara penyampaian bantuan banjir adalah melalui gerakan operasi peringkat kawasan-kawasan.

“Ketua-ketua kawasan yang terlibat banjir perlu memaklumkan terus kepada bilik gerakan pusat operasi berkenaan keadaan di tempat masing-masing dan jumlah bantuan yang diperlukan.

“Pihak kami di bilik operasi akan membuat keputusan segera mengenai barang-barang dan bentuk-bentuk bantuan yang perlu dihantar.

“Segala urusan pengambilan barang-barang dari pusat ini perlu diurus sendiri oleh kawasan-kawasan terlibat,” katanya.

Situasi banjir kali kedua ini menurut beliau agak berbeza dengan pusingan yang lalu.

“Kawasan yang terlibat kali ini lebih menyeluruh dan bukan tertumpu kepada penempatan-penempatan berhampiran sungai sahaja.

“Ini kerana hujan lebat berlaku di kawasan hilir dan paras air sungai tidak tinggi seperti kebiasaan,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua jentera peringkat kawasan yang berjaya menggerakkan sukarelawan masing-masing membantu mangsa termasuk operasi pemindahan.

“Jentera kita di Kota Bharu, Tumpat, Pengkalan Chepa, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Rantau Panjang, Machang dan Kuala Krai kelihatan begitu aktif membantu di kawasan masing-masing,” katanya.

Penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Tunjung