Operasi haram pelupusan sampah di Dun Pangkor membimbangkan

Operasi haram pelupusan sampah di Dun Pangkor membimbangkan

Bau busuk menyesakkan hidung. Lalat berterbangan dan menghinggap tumbuhan seperti simpuh air yang berbunga kuning. Daunnya yang boleh digunakan untuk membungkus tempe itu seolah-olah sedang 'dibungkus' lalat.

Bau busuk menyesakkan hidung. Lalat berterbangan dan menghinggap tumbuhan seperti simpuh air yang berbunga kuning. Daunnya yang boleh digunakan untuk membungkus tempe itu seolah-olah sedang ‘dibungkus’ lalat.

Tinjauan Malaysia Dateline bersama gabungan badan bukan kerajaan (NGO), Rakan Segari di bekas sebahagian Hutan Simpan Segari Melintang di daerah Manjung, Perak kelmarin amat mengejutkan.

Timbunan sampah yang menghampiri tingkat tiga bangunan itu seperti dihadang pepohon hijau di sekelilingnya. Dianggarkan seluas lebih dua padang bola sepak, tapak pelupusan sampah secara haram itu beroperasi sejak Januari 2015.

Bukit kecil yang juga melatari tempat pembuangan sampah di kawasan yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Pangkor itu pula seperti sedang menangis meratapi nasib akibat sikap penguasa yang memejamkan mata.

Mustahil Pejabat Daerah dan Tanah Manjung tidak tahu wujudnya longgokan sampah secara haram bahkan tanpa melaksanakan kaedah pelupusan sanitari (sanitary landfill) di kawasan yang sepatutnya dipelihara itu.

Jika alasan lokasi tersebut sudah dikeluarkan daripada warta hutan simpan sekalipun, masih menimbulkan persoalan bagaimana pelupusan sisa pepejal tanpa mekanisme rawatan larut resapan itu boleh dibiarkan sejak beberapa tahun lalu.

Menurut Penyelaras Rakan Segari, Meor Razak Meor Abdul Rahman longgokan sampah dan kadar kemusnahan Hutan Simpan Segari Melintang amat membimbangkan termasuk wujudnya aktiviti perlombongan.

Meor Razak Meor Abdul Rahman ketika memberi taklimat berkenaan kemusnahan alam sekitar di Segari baru baru ini“Inilah keadaan Segari sekarang. Dalam peta sahaja nampak hijau tapi tahun ini pokok-pokok di sini sudah tiada. “Walaupun nampak macam kerajaan negeri mesra alam tetapi operasi haram pelupusan sampah ini amat meragukan.

“Kawasan hutan terus gondol dan sampah dari seluruh Manjung semakin meninggi,” katanya sambil menuding jari ke arah satu bukit yang gondol akibat aktiviti kuari.

Beliau hairan ‘lautan’ sampah itu boleh terus dibiarkan walaupun cadangan untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai tapak pelupusan sampah gagal memenuhi syarat Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

“Ketua kampung pun tidak setuju. Kita sudah hantar surat bantahan kepada kerajaan negeri tapi tiada maklum balas sampai hari ini. JAS (Jabatan Alam Sekitar) pula respon kata akan ambil tindakan tetapi tidak nampak pun sebarang tindakan yang sepatutnya diambil.

“Baru-baru ini, sampah jatuh dan terus masuk ke laut. Terang-terang tidak lulus EIA tapi macam pencuri yang tidak diambil tindakan oleh polis,” ujarnya kepada kumpulan aktivis dari 10 NGO alam sekitar yang bersama-sama membentuk gabungan Rakan Segari.

Lawatan lapangan yang disertai ahli akademik itu juga mendedahkan hal tersirat dan jangkaan bencana alam sekitar lebih besar pada jangka panjang sekiranya pihak berkuasa negeri tidak bersikap peduli pada kelestarian kawasan Segari.

Prof Dr Maketab MohamedHal tersebut disahkah pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Maketab Mohamed. Pakar kualiti air itu memberitahu kewujudan tapak pelupusan sampah secara haram itu dibimbangi akan mengalirkan air larut resap terus ke laut.

“Sepatutnya, sampah itu diasing kemudian diletak satu demi satu lapisan dengan diselangi lapisan tanah. Air sampah itu mesti dipulihkan sebelum dilepaskan ke laut tapi nampaknya tiada rawatan pelupusan yang sewajarnya.

“Open dumping (lambakan terbuka) seperti ini mengundang risiko runtuhan sehingga sampah terus masuk ke laut,” tegasnya lagi.

Untuk rekod, sebanyak 40 hektar daripada Hutan Simpan Kekal Segari Melintang telah dikeluarkan daripada warta Hutan Simpan sejak 2013 seperti pernah diberitahu Pejabat Daerah dan Tanah Manjung pada tahun lalu.

Status Hutan Simpan Kekal Segari Melintang yang diwartakan sejak 1956 masih dapat dilihat berdekatan air terjun Lata MengkuduMengulas lanjut, Meor Razak yang juga Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan negeri menghentikan operasi pelupusan sampah secara haram itu sebaliknya memanfaatkan keindahan semulajadi yang sedia ada tanpa memusnahkan biodiversiti di kawasan tersebut.

“Di sini ada air terjun Tok Mengkudu yang berpotensi dijadikan sebagai produk eco-pelancongan yang sesuai bagi aktiviti pendidikan alam sekitar, kem motivasi dan sebagainya tapi dengan syarat tiada kuari dan tiada tempat sampah,” ujarnya lagi.

TAGS