Malaysia Dateline

Husam Musa projek karbon

Operasi karbon kredit Kelantan: Husam hantar surat kepada menteri

Surat itu ekoran Kerajaan negeri Kelantan pada sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini rata-rata mempersoalkan keupayaan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam urusan itu.

“Pada sidang Dun Kelantan yang berlangsung pada 11 dan 12 Julai baru-baru ini, skandal urusan hutan berkenaan dengan sebuah projek karbon hutan yang dimeterai oleh Kerajaan Negeri Kelantan dengan syarikat swasta Climate Protectors Sdn Bhd pada 9 Januari, tahun ini, telah dibahas dengan hangat.

“Ketika memberikan penjelasan dan mempertahankan projek tersebut, barisan pimpinan kerajaan negeri Kelantan telah rata-rata mempersoalkan kepimpinan dan keupayaan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam urusan ‘REDD-plus’,” katanya dalam satu surat yang turut diedar kepada media semalam.

Adun Pulai Chondong, YB Zulkifli Mamat katanya, memberitahu bahawa Kementerian sendiri ‘kurang jelas akan kaedah perlaksanaan’ ‘REDD-plus’.

“Seorang lagi pemimpin kerajaan negeri, iaitu Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Datuk Haji Anuar Tan bin Abdullah pula menyoal adakah munasabah untuk Kelantan menyerahkan kawasan hutannya kepada Kerajaan Pusat untuk diuruskan dan dimasukkan dalam rancangan ‘REDD-plus’ Kerajaan Pusat.

“Beliau menyamakan hal ini dengan penyerahan hak petroleum kepada Petronas,” katanya yang juga naib presiden Amanah.

Apa yang beliau maklum, kata Husam, projek ‘REDD-plus’ yang diterajui oleh Kerajaan Pusat adalah mengikut mekanisme ‘REDD-plus’ Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di bawah Konvensyen Kerangka Perubahan Iklim dan ia merangkumi kawasan hutan kesemua wilayah negara termasuklah negeri Kelantan.

“Saya juga memahami penjelasan yang telahpun diberikan oleh pihak Menteri pada pertengahan bulan Februari yang menasihatkan pihak Kerajaan Negeri supaya mendapatkan nasihat teknikal daripada pihak Kementerian,” katanya.

Memandangkan sudah hampir tujuh bulan berlalu dan mengikut pendirian Kerajaan Negeri Kelantan seperti yang dihujahkan dalam sidang DUN, beliau mahu beberapa persoalan diberi penjelasan.

“​Adakah benar Kerajaan Pusat tidak pasti akan kaedah pelaksanaan ‘REDD-plus’ justeru itu menyebabkan timbulnya ketidakyakinan Kerajaan Negeri Kelantan terhadap projek kebangsaan ‘REDD-plus’ tersebut?

“​Adakah benar bahawa penyertaan dalam projek kebangsaan ‘REDD-plus melibatkan penyerahan kuasa pengurusan kawasan hutan Kelantan yang berkenaan kepada Kerajaan Pusat ?

“Adakah Kementerian sedar bahawa dari senarai kawasan hutan yang diluluskan kepada Syarikat Climate Protectors adalah meliputi Taman Negara bahagian Kelantan dan adakah penyerahan itu mengikut undang-undang dan peraturan berkenaan?

“​Apakah langkah-langkah berbentuk nasihat, pandangan dan konsultasi yang telah diambil oleh Kementerian terhadap program Kerajaan Kelantan bersama Climate Protectors tersebut, dan

“Adakah benar program perdagangan karbon oleh Kerajaan Kelantan ini terletak di bawah program voluntary mechanism dan boleh dipasarkan di enam climate stock exchange termasuk Chicago Climate Exchange,” soalnya.

Beliau berharap semua ini diberi penjelasan telus pihak kementerian untuk kepentingan semua pihak terutama rakyat negeri Kelantan.