Malaysia Dateline

Operasi Mossad di Malaysia perlu diperangi habis-habisan

Pihak berkuasa Malaysia perlu segera menyiasat bagaimana operasi agensi perisikan Israel – Mossad di negara ini menggunakan orang tempatan bagi memburu pejuang Palestin di Malaysia, boleh wujud kerana ia menjadi satu ancaman di mana mereka mampu menerobos sempadan keselamatan negara.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata insiden asasinasi seorang warga Palestin pada 2018 di Kuala Lumpur sepatutnya pihak keselamatan menggerakkan agensi inteligen negara memantau operasi Mossad dengan terperinci.

“Pihak lokal yang rela dipergunakan oleh Mossad perlu segera disiasat kerana kewujudan penjenayah terbabit kemungkinannya telah membina jaringan yang luas dan kegiatan espionaj Mossad di seluruh dunia bukan suatu perkara yang baru.

” Mapim mendesak kerajaan, ahli politik dan agensi keselamatan bertindak pantas dan tegas membanteras agensi zionis yang beroperasi di negara ini.

” Semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam negara ini digesa supaya bangkit dan mengecam zionis Israel dan agensi penjenayah Mossad serta melancarkan kempen memerangi mereka yang sanggup menjadi tali barut Mossad,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, kerajaan dan pimpinan parti politik harus mengeluarkan kenyataan tegas bahawa agensi penjenayah tersebut tidak boleh beroperasi di bumi Malaysia dan tiada kompromi sama sekali terhadap Mossad.

Malah kata beliau, sstu nota bantahan perlu dihantar kepada Israel melalui Amerika Syarikat yang menjadi penyokong kuat Israel.

Tegasnya, pihak keselamatan Malaysia harus memantau sebarang operasi menggunakan warga Malaysa sebagai agen Mossad atau mana-mana agen luar yang mengancam keselamatan negara.

Baca juga: Wanita Malaysia didakwa jadi ejen Mossad Israel, kerajaan respon sedang mulakan penelitian