Malaysia Dateline

Operasi Pusat Kuarantin COVID-19 MAEPS ditutup

Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah MAEPS (PKRC), Serdang secara rasminya menamatkan operasinya pada 15 Julai 2020.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, PKRC ditutup selepas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menyaksikan proses pesakit terakhir telah discaj hari ini dari pusat berkenaan.

PKRC Serdang sebagai salah satu langkah proaktif Kerajaan dalam menangani pandemik penyakit COVID-19 di negara ini.

Ia telah mula beroperasi secara rasmi pada 16 April 2020 dan mula menerima pesakit pertama pada 21 April 2020.

PKRC merupakan kolaborasi pelbagai agensi yang diterajui oleh KKM dan melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Markas Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Penjara Malaysia, Malaysia Genome Institute dan MAEPS

Katanya, sehingga 10 Julai 2020, PKRC telah berjaya merawat seramai 1,362 orang pesakit di mana majoritinya adalah bukan warganegara (86 peratus) dan 14% adalah warganegara Malaysia.

“Pihak KKM ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua barisan hadapan daripada semua agensi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan perlaksanaan operasi pusat ini,” katanya.