Malaysia Dateline

Operasi sedut pasir bukan saja pecahkan paip utama bahkan kampung terhakis

Operasi menyedut pasir di Sungai Terengganu bukan sahaja menyebabkan paip besar di dasar sungai pecah, ia juga telah menyebabkan hakisan teruk di Pulau Sekati, dekat Kuala Terengganu.

Menurut sumber, perkara ini telah dilaporkan oleh penduduk pulau di atas sungai itu kepada Jabatan Pengairan dan Saliran dan perkara itu telah dipanjangkan kepada kerajaan negeri sejak Oktober tahun lepas lagi.

Akibat pengambilan pasir secara tidak terkawal itu telah menyebabkan Kampung Pulau Sekati tu terhakis antara 1 ke 3 meter.

Semalam, Terengganu Fokus melaporkan, kira-kira 157,850 penduduk di sebahagian daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus terpaksa menanggung sengsara terputus bekalan air hingga 12 September depan susulan Krisis Air Berangan 2.0.

Gangguan bekalan air buat kali kedua itu disifatkan lebih buruk berbanding krisis pertama pada 2 Ogos lalu berikutan paip dasar sungai tangki Berangan yang patah.

Kejadian terbaharu itu sekali gus mengundang kemarahan 28,700 pengguna akaun Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) kerana berlaku selang 10 hari selepas bekalan kembali pulih.

Perkara ini diakui oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri Terengganu, Dr. Mamad Puteh.

Beliau berkata, kerja-kerja pembaikan memerlukan masa lebih panjang sehingga 20 hari untuk disiapkan bagi meneliti kaedah paling berkesan.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati punca kerosakan disebabkan kejadian luar jangka semasa kerja-kerja pasca pembaikan paip bersaiz 1,200 milimeter itu.

“Berdasarkan penilaian sebelum ini, kita tidak menemukan apa-apa keretakan pada salutan simen paip di jajaran Tangki Berangan itu malah, kerosakan terdahulu yang terletak pada jarak 24 meter darinya juga masih kukuh.

“Bagi pihak kerajaan negeri dan Satu, saya memohon maaf dan berdukacita atas krisis air berulang yang membantutkan kegiatan ekonomi serta aktiviti rakyat,” katanya dalam sidang akhbarnya.