Operasi sekitar Uptown Shah Alam, 67 PATI ditahan

Operasi sekitar Uptown Shah Alam, 67 PATI ditahan

Jabatan Imigresen Selangor menahan 67 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dalam satu operasi sekitar Uptown Shah Alam, Seksyen 24, di sini, sehingga awal pagi ini.

Pengarahnya Mohamad Shukri Nawi berkata operasi itu dijalankan oleh pegawai Imigresen Selangor dan Jabatan Pendaftaran Negeri, yang memeriksa 120 warga asing di kawasan berkenaan pada pukul 11.30 malam, Jumaat, dan ia berlangsung selama selama kira-kira tiga jam.

“Ops Kutip ini dilaksanakan di lokasi Uptown Shah Alam berikutan rungutan daripada netizen yang mendakwa terdapat lambakan warga asing di kawasan berkenaan.

“Setelah pemeriksaan dilakukan, kami mendapati ada di antara warga asing yang berada di lokasi operasi adalah pekerja dan pengunjung di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan menerusi WhatsApp.

Katanya semasa serbuan dilakukan ada segelintir PATI cuba melarikan diri dan bersembunyi, namun gagal kerana anggota pasukan serbuan sudah bersiap sedia dan membuat persiapan rapi lebih awal.

Beliau berkata kesemua mereka yang terdiri daripada 35 lelaki dan 32 wanita yang berumur antara 20 dan 55 tahun, disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pas/permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama kerana tinggal lebih masa.

Katanya dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor bagi tujuan siasatan lanjut.

— BERNAMA