Operasi tapak sampah ganggu penduduk Taman Bukit Kempas

Operasi tapak sampah ganggu penduduk Taman Bukit Kempas

Penduduk tempatan di Taman Bukit Kempas, Johor Bahru mendakwa mereka terganggu dengan tapak sampah di kawasan perumahan tersebut.

Wakil penduduk Johari Abdul Aziz, 53, berkata status tanah berkenaan dipertikaikan kerana terlalu berhampiran dengan rumah penduduk.

Beliau berkata, faktor alam sekitar serta pencemaran yang berlaku di kawasan penduduk taman tersebut perlu diberikan perhatian.

“Kita memohon agar Pejabat Daerah, Pejabat Tanah dan Galian mengambil tindakan untuk melihat status tanah yang bermasalah itu.

“Kebakaran kerap berlaku. Boleh dikatakan sebanyak dua kali kebakaran berlaku dalam masa sebulan sekiranya musim panas berlangsung.

“Selain perumahan, ia berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Kempas yang ada di sebelahnya.

Johari Abdul Aziz

“Sekiranya kebakaran berlaku ia akan menjejaskan tahap udara di sekolah berkenaan,” ujar Johari ketika ditemui.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Pulai, Norhayati Majid berkata, pihaknya telah dimaklumkan dengan keadaan itu.

Menurutnya, pihak beliau akan membawa perkara tersebut kepada PTG, PTD dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengambil tindakan kepada pengusaha yang menjalankan aktiviti tersebut.

“Kita akan semak sebarang kos sekiranya berlaku sebarang kerugian dan tuntutan yang wujud, kita akan memohon agar pihak pengusaha menanggung kos tersebut.

“Setakat ini pemantauan telah dilakukan oleh pihak sukarelawan yang telah dikerah dan ketua kampung.

“Perkara ini juga telah dimaklumkan kepada pihak berwajib berkenaan,” menurutnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Dalam tinjauan sehingga semalam, kebakaran yang berlaku selama lapan hari di kawasan tapak sampah tersebut telah berjaya dipadamkan oleh pihak bomba yang ditugaskan ke tapak berkenaan.