Malaysia Dateline

Operasi tindakan milikan kosong, perobohan di Jalan Mengkuan 11 ditahan

Pihak polis telah melakukan 11 tangkapan yang melibatkan 4 lelaki dan 7 perempuan yang berusia antara 19 hingga 51 tahun dalam kejadian pelaksanaan milikan kosong dan perobohan di Jalan Mengkuang, Butterworth pagi ini.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor.

Menurut beliau lagi, pada 7 Mac Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) telah melaksanakan pemilikan kosong keatas tanah wakaf Abdul Cauder.

“Pada jam lebih kurang 10 pagi semasa pihak MAINPP hendak melaksanakan operasi pemilikan kosong dan perobohan seramai lebih kurang 100 penduduk kampung telah menghalang dan membuat provokasi.

“Akibatnya berlaku ketegangan dan bertindak agresif dengan menyerang 4 pegawai MAINPP.

“Semasa proses meleraikan ketegangan seorang Pegawai Polis telah diserang dan dipukul oleh penduduk dan laporan polis telah dibuat oleh MAINPP kerana telah dihalang, ” jelas beliau lagi.

Malah katanya bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin Pegawai LSF telah memberikan arahan bersurai sebanyak tiga kali tetapi tidak diendahkan oleh penduduk.

“Sebaliknya penduduk mulai bertindak agresif dengan menghalang Land Rover LSF pihak Polis.

“Dalam usaha pihak MAINPP meneruskan operasi perobohan telah berlaku tentangan penduduk sehingga mencetuskan situasi tegang apabila salah seorang penduduk menyerang anggota polis.

“Akibat serangan tersebut seorang anggota polis tercedera dan telah dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya, ” tegasnya.

Ujar beliau lagi, pihak Polis menyangkal dakwaan telah menggunakan kekerasan terhadap penduduk semasa melaksanakan tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman awam semasa kejadian sepertimana yang didakwa melalui media sosial.

Jelasnya, tindakan yang diambil adalah berlandaskan undang-undang setelah laporan polis dibuat oleh MAINPP.

Katanya, kes di siasat dibawah Seksyen 186 Kanun Kesiksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 323 kerana mendatangkan kecederaan.