Malaysia Dateline

Operator feri Labuan setuju sediakan 16 perjalanan pada musim perayaan

Operator feri Labuan bersetuju untuk menyediakan sekurang-kurangnya 15 perjalanan setiap hari dari Labuan-Menumbok-Labuan setiap kali musim perayaan.

Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat antara Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, wakil-wakil operator feri, Jabatan Laut Labuan serta Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah semalam.

Pada masa ini, Labuan mempunyai empat feri yang dikendalikan oleh dua operator iaitu Juta Bonus Sdn Bhd dan Labuan Mainland Link Sdn Bhd; feri Galaxy boleh memuatkan 70 kenderaan dengan 370 penumpang, Kimanis (50 kenderaan, 250 penumpang), Putrajaya 1 (80 kenderaan, 400 penumpang) dan feri terbesar, Goodwill Star yang boleh menampung lebih 400 penumpang dan 100 kenderaan setiap perjalanan.

Perjumpaan ringkas itu diadakan berikutan rungutan orang ramai mengenai beratus kenderaan yang terkandas di terminal feri Menumbok sejak minggu lepas apabila feri gagal menampung penumpang yang ramai berikutan cuti perayaan.

Dua operator menyediakan sembilan perjalanan termasuk perjalanan tambahan semasa cuti panjang bermula Pesta Kaamatan hingga hari raya.

Dalam sidang akhbar selepas pertemuan itu, Rozman memberitahu pemberita bahawa satu feri baharu yang dijadualkan siap sebelum akhir tahun ini akan membantu sektor perkhidmatan pengangkutan laut sedia ada.

“Feri baharu yang dimiliki oleh Labuan Mainland Link akan melalui Labuan-Brunei-Labuan yang akan membolehkan feri terbesarnya, Goodwill Star untuk fokus kepada laluan Labuan-Menumbok-Labuan sepenuhnya, dengan lebih banyak perjalanan berbanding satu perjalanan pada masa ini,” katanya.

Mengenai tempoh menunggu yang lama setelah penumpang dan kenderaan mendarat di terminal feri Labuan dan Menumbok kerana hanya ada satu tanjakan, Rozman berkata Jabatan Laut Labuan dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah akan membuat jadual feri yang lebih teratur.

Wakil kepada dua pihak berkuasa itu juga memberi jaminan untuk mempercepatkan kelulusan bagi setiap permohonan untuk perjalanan tambahan.

Dua operator feri berkenaan turut bersetuju untuk mematuhi arahan Kementerian Pengangkutan iaitu memperkenalkan sistem tiket dalam talian bagi meningkatkan perkhidmatan mereka kepada penumpang.

“Mereka sedang mengusahakannya dan ejen tiket Juta Bonus iaitu Binabalu Sdn Bhd dijangka melaksanakan sistem tiket dalam talian pada Oktober manakala Labuan Point Sdn Bhd (ejen tiket untuk Labuan Mainland Link) sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Sistem dalam talian itu akan membantu penumpang dan pelancong dari tanah besar Sabah, Brunei dan Sarawak merancang perjalanan mereka ke Labuan dengan sistematik dan cekap.

“Ketiadaan sistem dalam talian telah memberi kesulitan khususnya kepada mereka di tanah besar untuk membeli tiket feri ke Labuan kerana mereka perlu melalui perjalanan jauh ke Menumbok (Kota Kinabalu ke terminal feri Menumbok sejauh 155 kilometer) untuk membeli tiket yang ‘tidak pasti ada atau tidak’, dan kebanyakannya mereka gagal mendapatkan tiket,” katanya.

— BERNAMA