Oportunis rebut bola jawatan, perpaduan lemah macam liputan internet, netizen sindir logo Hari Kebangsaan

Oleh ARIF ATAN

Rata-rata netizen menyindir logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 yang berkonsepkan jalur liputan internet.

Logo dengan tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ itu dilihat mengundang pelbagai tafsiran orang ramai termasuk dianggap kontang idea dan pemalas.

“Logo tu bermaksud tiga oportunis merebut bola jawatan. Yang warna kuning tu, depan belakang dia balun,” kecam seorang warganet.

Yusri Yusoff pula menulis, “Pemalas. Tiada innovative skill langsung” manakala perli Hisham Salmin, “Nampak macam tiga orang gila sedang buat akrobatik atas sebiji bola.”

Ramai juga rakyat Malaysia mengaitkan logo itu dengan realiti sebenar capaian internet yang lemah hingga pernah menjadi punca pelajar sekolah terbabit nahas jalan raya kerana ingin mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Kalau nak buat logo ala-ala coverage tu, kurang-kurang caknalah sikit coverage dekat kampung-kampung tu yang sangat teruk,” bidas Muhammad Farit.

Tidak kurang juga yang menyifatkan logo Hari Kebangsaan tahun ini lambang kepada kerapuhan perpaduan Keluarga Malaysia.

“Adakah secara simbolik kementerian cuba mengatakan perpaduan Keluarga Malaysia masih lemah seperti wifi di negara kita?” sindir Jeevithan P. Ganasan pula.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dilapor berkata, logo Hari Kebangsaan tahun ini bersesuaian dengan situasi dialami negara ketika ini.

Menurutnya, tiga warna pada logo itu menggambarkan kebersamaan rakyat sebagai Keluarga Malaysia yang hidup bersatu dan aman damai sekali gus menjadi intipati untuk negara bergerak ke hadapan dan menggambarkan negara telah berkembang daripada kecil kepada pembangunan lebih besar.

Ia juga, jelasnya, melambangkan bagaimana rakyat komited untuk terus maju ke dalam suasana yang mencabar tetapi masih mempunyai teknologi terkini seperti jalur lebar, wifi yang menjadi pengikat, penghubung dan asas kepada kesalinghubungan kehidupan dan ekonomi.