Ops Bersih ARiF kumpul 450 sukarelawan di Temerloh

Oleh Oleh MALAYSIA DATELINE

Ops Bersih 2.0 yang dianjurkan oleh Persatuan Amal Kemanusian Malaysia (ARiF Malaysia) bersama dengan beberapa buah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta mahasiswa berjaya mengumpulkan 450 orang sukarelawan bagi misi bantuan banjir yang dijalankan di daerah Temerloh, Pahang.

Menurut setiausaha ARiF Malaysia, Suhaimi Hamzah pihak mereka sendiri tidak menjangkakan sambutan yang sangat hebat diberikan oleh NGO dan paling mengejutkan adalah penyertaan oleh 100 orang mahasiswa dari pelbagai universiti tempatan dalam misi banjir kali ini, lapor Utaradaily.com.

“Saya memang tidak menjangka seramai ini kita dapat kumpulkan. Target ARiF Malaysia hanya seramai 200 orang sukarelawan sahaja, namun angka 450 orang amat di luar jangkaan kami.

“Slogan #RakyatBantuRakyat memang sangat menyentuh perasaan dan kerana itulah ARiF berjaya mengumpulkan 450 orang sukarelawan dalam misi di Temerloh pada kali ini,” katanya lagi.

Kesemua sukarelawan yang turun ke Temerloh telah disambut oleh Ahli Parlimen Temerloh sendiri iaitu Datuk Wira Haji Mohd Anuar Mohd Tahir.

Turut sama menyantuni para sukarelawan adalah Ketua Pengarah ARiF Malaysia, Tuan Juhari Osman dan Ketua Pemuda AMANAH Negara, Hasbie Muda.