Malaysia Dateline

Ops Lestari tidak kena masa sukarkan pekebun CH, amat dikesali, kata Pengerusi PH Pahang

Tindakan Kerajaan Negeri Pahang menggunakan kekerasan ke atas peneroka pekebun sayur di Cameron Highland (CH) adalah amat dikesali  dalam menghadapi suasana menyambut perayaan dan permulaan persekolahan, kata Pengerusi Pakatan Harapan Pahang Fuziah Salleh.

Beliau berkata, seharusnya kerajaan negeri menggunakan cara rundingan menang-menang dalam menangani isu pekebun haram ini.

Ini susulan semalam, Operasi Lestari melibatkan tindakan penguatkuasaan ke atas penerokaan secara haram di kawasan tadahan air Sungai Inchat di Kuala Terla yang bermula sejak minggu lepas.

Beliau berkata, seharusnya kerajaan negeri Pahang mengenalpasti tanah untuk di pajak bagi tujuan jangka masa panjang oleh pekebun sayur yang bercucuk tanam secara kecil-kecilan di situ.

Menurut Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan ini bagi tujuan mereka boleh melabur dengan peralatan sewajarnya untuk hasil yang lebih baik demi pembangunan ekonomi negara.

“Mereka juga boleh dilatih untuk menggunakan teknologi moden serta Good Agricultural Practises. Elak daripada menggunakan racun terlarang dan sebagainya.

“Kerajaan Negeri Pahang seharusnya menggunakan cara rundingan menang- menang didalam hal ini.

” Saya ambil maklum bahawa kawasan tersebut merupakan kawasan tadahan air namun adalah lebih berperikemanusiaan untuk menunggu hasil kebun mereka dituai dahulu, sebelum memindahkan mereka.

“Ia boleh dilakukan secara rundingan dengan baik ke atas lot yang dikenalpasti kerajaan negeri.

“Tambahan pula waktu ini merupakan musim perayaan. Dan anak-anak mereka akan mula bersekolah. Tentu sekali hasil tuaian mereka diperlukan untuk membiayai persekolahan awal tahun anak-anak mereka nanti,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Ops Lestari yang dilakukan semalam, adalah tindakan penguatkuasaan kedua selepas operasi pertama di Bertam Valley pada 18 Disember lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Sallehuddin Ishak dipetik berkata, tindakan penguatkuasaan itu dibuat berdasarkan kepentingan umum bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kepentingan rakyat dipelihara.

sebanyak 11 penerokaan terlibat bagi peringkat pertama dan 37 penerokaan haram bagi peringkat kedua.

Katanya, keseluruhan kawasan terlibat adalah 121 hektar (300 ekar) di mana 24 hektar (60 ekar) bagi peringkat pertama dan 97 hektar (240 ekar) bagi peringkat kedua.

Tambahnya, tindakan diambil di bawah peruntukan Seksyen 425(1) Kanun Tanah Negara 1965 kerana menduduki tanah kerajaan tanpa izin sejak tahun 2009.