Malaysia Dateline

Ops Naga: Apa sudah jadi?

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub hari ini mempunyai persoalan berkaitan status Ops Naga, iaitu satu inisiatif di bawah kementeriannya sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini katanya, beliau sering memberi jaminan bahawa Ops Naga akan diteruskan untuk memastikan agar nasib nelayan tempatan terus terbela.

Dengan bertukarnya kerajaan PH kepada Perikatan Nasional (PN), beliau mendakwa operasi khas itu seolah-olah sudah diberhentikan.

“Saya menyeru agar Ops Naga diteruskan untuk membela nasib nelayan tempatan yang terjejas mata pencarian mereka, akibat pencerobohan nelayan asing.

“Walapun kerajaan sudah bertukar, inisiatif yang berkesan ini seharusnya diteruskan tanpa mengambil kira unsur politik.

“Baru-baru ini juga saya telah menerima aduan bahawa pencerobohan nelayan asing Vietnam semakin menjadi-jadi dan mereka semakin berani menceroboh perairan negara untuk mencuri khazanah hasil laut negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Timbalan Presiden AMANAH itu berkata, Ops Naga merupakan sebuah inisiatif sewaktu beliau di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

Katanya, dalam masa beberapa bulan, lebih daripada 200 vesel asing telah ditahan dan beberapa bot asing juga telah ditenggelamkan, untuk dijadikan tukun bagi tujuan pembiakan ikan serta hasil laut.

“Ini sekali gus membantu mengawal pencerobohan nelayan asing yang telah mengakibatkan ketirisan hasil laut sebanyak RM6 bilion setahun.

“Ops Naga juga turut membantu menyelamatkan ekosistem laut daripada terus dirosakkan oleh kegiatan nelayan asing,” katanya lagi.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai menambah, isu pencerobohan nelayan asing ini sesungguhnya bukan suatu isu yang baharu.

“Tetapi ingin saya ingatkan di sini bahawa operasi khas Ops Naga yang dilancarkan pada tahun lepas, telah membantu dalam menyelamatkan hasil laut negara, sekali gus membela nasib nelayan tempatan,” ujarnya.