Malaysia Dateline

Ops Sumber Air berjaya elak 2 kejadian cemar air sungai

Operasi pemantauan 24 jam sumber air atau Ops Sumber Air yang mula dilaksanakan pada 17 April lalu sehingga 31 Mei 2020 akan datang telah berjaya mengelakkan dua insiden pencemaran di Lembangan Sungai Langat yang berpotensi menyebabkan henti tugas loji pembersihan air (LPA).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Selangor, Hee Loy Sian berkata, Ops Sumber Air yang mula dilaksanakan telah berjaya mengelakkan terjadinya dua insiden pencemaran.

“Pada 19 April lalu, pemantauan pasukan operasi Pengurusan Air Selangor telah mengenal pasti peningkatan kekeruhan dan parameter ammonia di Sungai Pajam yang disyaki berpunca daripada kolam ikan berhampiran.

“Semakan lanjut mendapati, lokasi terlibat terletak dalam kawasan Negeri Sembilan. Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah berhubung dengan pihak Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSA N9) dan tindakan segera mitigasi telah diambil oleh pihak BKSA Negeri Sembilan.

“Pada tarikh yang sama juga pasukan operasi telah mengenal pasti keadaan air berwarna hijau di saliran kawasan Perindustrian Hi- Tech 6 sebelum memasuki Sungai Semenyih.

“Siasatan mengesyaki ianya berpunca daripada sebuah kilang percetakan yang terletak di Jalan Sungai Lalang, Semenyih yang tidak menguruskan Buangan Terjadual mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005,”katanya menerusi kenyataan.

Menjelaskan lanjut, Loy Sian yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah bertindak pantas dengan menghentikan operasi premis dan menyita beberapa alatan premis seperti mesin kompresor dan mesin cetak.

“Pensampelan juga telah diambil untuk dianalisa oleh Jabatan Kimia Malaysia (JKM). Melalui Ops Sumber Air yang melibatkan pelbagai agensi antaranya LUAS, JAS, Pengurusan Air Selangor, Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dilihat berjaya dan mampu mengurangkan risiko berlaku pencemaran.

“Laporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air agar insiden pencemaran tersebut tidak berulang,” ujarnya lagi.