Malaysia Dateline

Ops Yaman 2: Deklasifikasikan dokumen rahsia ATM di Arab Saudi, kata Hishammuddin

Keputusan menempatkan anggota tentera Malaysia di Arab Saudi adalah sebagai langkah persediaan menghadapi situasi kecemasan termasuk operasi menyelamat pelajar Malaysia di Yaman sekiranya wujud, keperluan kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bekas Menteri Pertahanan itu berkata, langkah awal itu perlu memandangkan kerajaan Malaysia ketika itu tidak boleh menjangka apa akan terjadi sekiranya perang di antara dua negara di Asia Barat itu berlarutan.

“Kita tidak hantar anggota ke Yaman, dan saya dah jawab dulu (dalam Parlimen) bahawa mereka berada di bumi Arab Saudi untuk pastikan sekiranya pelajar kita terhimpit dan ada dalam keadaan yang mencemaskan, sekurang-kurangnya kita dapat membantu.

“Sekarang (Timbalan Menteri Pertahanan) Liew Chin Tong kata ada 700 (pelajar) lebih di Yaman, tetapi saya tahu dari risikan saya jumlahnya lebih besar. Sekarang mereka dah tarik balik anggota kita.

“Kalau sesuatu berlaku suruh Chin Tong dengan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah) pergi ke Yaman selamatkan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Dewan Rakyat hari ini dipetik Astoawani.

Semalam Raja Kamarul Baharin berkata penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Ops Yaman 2 tidak mendapat kelulusan Kabinet kerajaan terdahulu.

Perkara itu turut diulangi Chin Tong sewaktu sesi soal jawab di Dewan Rakyat bahawa Hishammudddin tidak mendapat kelulusan kabinet dari segi prosedur operasi standard untuk operasi itu.

Beliau memaklumkan Dewan Rakyat bahawa Kerajaan Pakatan Harapan menghentikan operasi itu pada 4 September lalu dengan menarik balik pasukan ATM di Arab Saudi atas sebab tidak selaras dengan dasar berkecuali Malaysia.

Mengulas mengenai dakwaan tiada kelulusan Kabinet itu, Hishammuddin berkata, Chin Tong sepatutnya faham apa maksud rahsia negara, apa maksud Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sebagainya.

“Dia lupa apa dia Majlis Keselamatan Negara. Sebab dia kata tidak bawa ke Kabinet. Dia patut tanya pada External Intelligence Office, tanya kepada MKN apa yang kita lakukan. Tetapi mesti ‘declassify ‘kerana ini membabitkan kepentingan negara.

“You siasat dengan orang yang betul-betul buat (risikan). Dia tidak tahu 763 (pelajar) kita diselamatkan, itu dia tak cerita. Semua itu rahsia negara. Saya tak boleh dedahkan sekarang. Tapi kalau nak buat (siasatan), gunakan agensi di bawah mereka sekarang,” tegasnya lagi.