Malaysia Dateline

Ops Yaman 2: Najib, Hishamuddin harus beri penjelasan

Bekas perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein didesak memberi penjelasan mengenai penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Ops Yaman 2.

Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah berkata ini kerana operasi itu tidak diluluskan oleh kabinet kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Beliau berkata, selama hampir dua tahun telah mempersoalkan tindakan Hishammuddin dan Najib mengenai penglibatan ATM.

“Kenapa Najib senyap. Adakah kerana Najib terlalu terhutang budi kepada keluarga diraja Saudi?” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat berkata, difahamkan Hishammudddin belum menerima kelulusan Kabinet dari segi prosedur operasi standard untuk Ops Yaman 2.

Liew dilaporkan berkata, pada mulanya tentera ATM berada di sana untuk membantu dengan pemindahan rakyat Malaysia di Yaman, tetapi misi itu berubah untuk memudahkan tentera perikatan Arab.

Pada 4 September, kerajaan yang dipimpin oleh Pakatan Harapan memutuskan untuk menamatkan Ops Yaman 2 dengan menarik tentera ATM dari Arab Saudi atas alasan ia tidak selari dengan dasar Malaysia.

Raja Kamarul Bahrin dalam kenyataan hari ini, juga berkata,, bukan sahaja Kerajaan dulu malah Kerajaan sekarang juga tidak memahami undang-undang dan tidak mahu ikut rule of law, dakwanya.

“Mengenai ATM, Kerajaan perlu baca dan faham perkara 41 dan juga perkara 137 Perlembagaan Persekutuan. Kalau tak faham saya boleh fahamkan. Jangan hanya pandai-pandai menunding jari.

“Saya tegaskan ATM bukan tunggangan parti politik yang memerintah. ATM adalah pasukan yang berkhidmat dengan nama Tuhan, untuk Raja dan Negara (Rakyat) Dan tidak lebih mahukan kurang daripada itu.

“Saya berpendapat ramai pegawai atasan tentera dan orang politik tidak faham atau buat-buat tidak faham peranan dan masalah ATM dan Veteran ATM. Ramai Yang pentingkan jawatan dan tekolok sendiri,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu berkata, mendapat maklumat yang mendakwa anggota tentera hanya dibayar sebanyak RM54.00 sehari dalam Ops Yaman 2.

“Tahukah Kerajaan bahawa jumlah itu Sama seperti anak muda kerja sambilan Di pasar raya? Adakah nyawa anggota tentera kita semurah itu?

“Saya mendapat tahu Kerajaan Arab saudi membayar gaji anggota melalui Kerajaan malaysia. Tidakkah Kerajaan sekarang membuat audit berapa yang di bayar kepada Kerajaan Malaysia dan jika ada baki, kemana perginya? Berbanding dengan anggota tentera kita di bawah PBB, hidup mewah, Dan dapat perbagai kemudahan.

“Saya juga mendapat tahu, anggota yang dikerahkan tidak berinsuran. Ertinya jika mereka mati, mereka akan mati katak sahaja. Inikah Cara Kerajaan memandang kepada anggota tentera kita?”soalnya