Ops Yaman 2: Patriot persoal kuasa MKN ketuai, arah tentera ke luar negara

Ops Yaman 2: Patriot persoal kuasa MKN  ketuai, arah tentera ke luar negara

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) membidas jawaban balas Datuk Seri Hishamuddin Hussin  semalam,  apabila meletakkan pertikaian Ops Yaman 2 ke atas anggota tentera Malaysia ada hubungkait dengan kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) bukan kabinet.

“Jawaban Hishammuddin lebih banyak menimbulkan persoalan. Adakah beliau mengatakan bahawa Kabinet atau Parlimen tidak mempunyai peranan dalam penempatan tentera di luar negara? Adakah beliau mengatakan bahawa Jawatankuasa Panglima-Panglima tidak perlu dirujuk dan boleh dilangkaui?,” soalnya Presidennya Brid.Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan dibuat bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menjelaskan dakwaan bahawa  ATM tidak mendapat kelulusan kabinet dalam pentadbiran terdahulu, kerana  diketuai dan diluluskan oleh MKN.

Hishammudin berkata, pihak yang membangkitkan isu Ops Yaman 2 perlu memahami fungsi MKN untuk mengetahui pembabitkan lansung ATM di Arab Saudi.

Hishammuddin juga berkata pendedahan dibuat oleh Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku ketika membuat pendedahan itu di dewan rakyat.

“Dia lupa apa itu MKN. Dia kata (Ops Yaman 2) tidak dibawa ke kabinet, dia sepatutnya tanya kepada perisik luar, tanya kepada MKN, tanya mereka apa sebenarnya kita lakukan,” ujar Hishammuddin seperti dilaporkan media.

Justeru Mohamed Arshad mahu Ahli Parlimen Sembrong itu menerangkan di mana ditetapkan dalam Akta MKN diberikan kuasa mengarahkan ATM terlibat dalam peperangan diluar negara.

“Kami percaya Hishamuddin juga keliru dengan tidak menyebut bahawa Jawatankuasa Ketua Angkatan Tentera mempunyai peranan yang pasti untuk menasihati kerajaan yang berkaitan dengan penempatan pasukan di luar negara.

“Hishamuddin juga harus menerangkan apa yang dimaksudkannya dengan menyatakan maklumat (berkaitan dengan penempatan) harus dikecualikan kerana kepentingan nasional.

“Adakah menghantar pasukan untuk berperang bersama negara lain yang sedang dalam konflik peperangan dianggap kepentingan nasional? Adakah terdapat beberapa bentuk pertahanan atau perjanjian antara Malaysia dan Arab Saudi dimana Malaysia diwajibkan untuk membantu Arab Saudi dalam berperang melawan Yemen?,” soalnya lagi.

Patriot juga mendakwa, diberitahu bahawa tentera di Arab Saudi bersedia untuk melepaskan rakyat Malaysia di Yaman kembali ke Malaysia. Jika benar, ujar Mohamed Rashid lagi, kenapa tentera lebih dari tiga tahun, sedangkan isi untuk operasi tersebut dapat dicapai dalam masa kurang dari sebulan.

“Patriot berpendapat bahawa penempatan pasukan untuk membantu Arab Saudi di Yaman adalah haram kerana tidak ada arahan dari Kabinet dan Parlimen.

“Selain itu, kerajaan Yaman yang digulingkan oleh Abdu Rabu Mansour Hadi telah melampaui tempoh pemilihannya dan melarikan diri dari negara itu. Kesahihan Hadi sebagai ketua kerajaan memang dipersoalkan.

“Serangan yang dipimpin oleh Saudi sebagai tindak balas terhadap Hadi untuk membantu menentang pasukan pemberontak Yaman mungkin juga menyalahi undang-undang.

“Di bawah undang-undang antarabangsa kontemporari, semua tindakan ketenteraan terhadap negara yang berdaulat adalah haram. Tindakan ketenteraan hanya dapat dibenarkan dalam tiga cara iaitu tindakan pertahanan diri,pertahanan diri kolektif untuk membantu sekutu yang diserang, berikutan perjanjian pertahanan bersama yang diakui oleh PBB dan organisasi antarabangsa dengan fungsi pengaman yang disahkan oleh Majlis Keselamatan PBB

“Serangan gabungan pimpinan Saudi di Yaman tidak memenuhi justifikasi di atas. Peperangan di Yaman telah berulang kali dituduh oleh kumpulan hak asasi manusia sebagai serangan udara yang menyalahi undang-undang jenayah perang terhadap orang awam. Ia juga dilihat sebagai perang proksi antara Arab Saudi dan Iran, yang mana Malaysia tidak mempunyai hubungkait dengannya,” terangnya.