Optik yang betul dan strategik diperlukan untuk memahami Belanjawan 2019

Optik yang betul dan strategik diperlukan untuk memahami Belanjawan 2019

Sekali imbas, Belanjawan negara buat penggal 2019 seperti tidak berpihak kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Misalnya, Kementerian Pendidikan mendapat belanjawan yang lebih dari 18 peratus berbanding dengan tahun lepas di bawah pimpinan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malah, cuma MARA sahaja, yang di bawah Kementerian Luar Bandar, telah mendapat sebanyak RM 3.2 billion sebagai dana untuk menghantar anak-anak bumiputera meneruskan pelajaran di luar negara. Penekanan belanjawan 2019, seolah-olah condong kepada pendidikan, latihan teknikal dan berjenis vokasional. Semuanya baik tetapi di mana letaknya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani?

Para petani serta para nelayan tidak seharusnya cepat berputus asa ataupun runsing. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan diperkasakan melalui pendidikan dan penyelidikan. Dengan bantuan yang cukup dan deras kepada sektor penyelidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) bakal mendapat manfaat dan secara tidak langsung Kementerian Pertanian juga akan mendapat manfaat.

Kedua-dua sektor ini memang saling berkaitan. Kedua-duanya memang memerlukan bantuan kerajaan yang sepatutnya. Misalnya, Kementerian Pertanian sebenarnya telah mempunyai kerangka yang berhubung dengan ekonomi makro Malaysia secara keseluruhan dan sistematik. Sekiranya Kementerian Komunikasi dan Multimedia mendapat bantuan yang secukupnya untuk membantu ketersambungan Internet di luar bandar maka sektor pertanian dan perikanan akan turut diperkasakan.

Melalui “e-commerce” – di mana para petani dan nelayan akan berniaga secara terus dengan pemborong dan pengguna di bandar serta seluruh rantau Asia – akan meningkatkan kesinambungan rantaian penanam serta pembeli. Begitu juga dengan sektor perikanan, yang memang memerlukan jadual pembelian yang pendek, cepat dan tepat, supaya tangkapan harian boleh dijual dengan segera.

Yang paling penting ialah optik para penanam dan petani serta nelayan. Misalnya, belanjawan 2019 tidak akan menyusut. Malah, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir telah membenarkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk membentangkan Belanjawan yang mempunyai “development expenditure” (dana pembangunan negara) yang lebih tinggi. Sebanyak 18 peratus akan didedikasikan untuk perkembagaan ekonomi Malaysia, jauh melebihi 12 peratus yang dibentangkan oleh kerajaan Datuk Seri Najib Razak yang terdahulu, di mana sebanyak 25 peratus sahaja pula dimasukkan ke dalam Pejabat Perdana Menteri sahaja menurut penyelidikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming. Untuk belanjawan 2019, pembelanjaan Pejabat Perdana Menteri dikurangkan sebanyak RM 9.9 billion.

Melalui langkah ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta unit-unit dibawahnya seperti Agro Bank, bakal mendapat modal yang lebih banyak untuk membantu para petani dan nelayan. Ini juga tertakluk kepada kewibawaan para petani dan nelayan untuk terus berkembang menurut Dasar Agromakanan Negara. Pelan induk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam erti kata lain, tidak akan dipinggirkan atau dianaktirikan.

Yang penting ialah belanjawan yang bersifat “expansionary” atau berkembang untuk tiga tahun berturut-turut. Berkenaan hal ini, semua jentera kerajaan, termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani boleh bernafas dengan lebih mudah sedikit kerana bantuan dan subsidi strategik yang bakal diberikan kepada semua lapisan masyarakat pertanian dan perikanan akan turut mendapat pertolongan yang sewajarnya melalui agensi-agensi yang sedia ada.

Anak-anak petani dan nelayan yang berkelayakan, misalnya, masih boleh meneruskan pelajaran di luar negara melalui bantuan MARA. Dan sekiranya MARA serta kerajaan peringkat negeri terus saling membantu, peluang pendidikan dan penyelidikan yang begitu penting tidak akan tercantas dengan begitu sahaja.

Peluang yang datang dari Dasar Pandang Ke Timur, misalnya, boleh membantu anak-anak petani dan nelayan untuk belajar dan bekerja pada masa yang sama di kota serta luar bandar Jepun yang memang memerlukan tenaga kerja rakyat Asia, terutamanya Malaysia, kerana penghormatan mereka yang paling tinggi kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Samurai Bond” yang bakal diberi kepada Malaysia, iaitu lebih kurang RM7 bilion, itupun dari Bank Jepun dan Pengusahaaan Antarabangsa (Japan Bank of International Cooperation), sebuah entiti kerajaan pusat Jepun, sebenarnya cukup untuk belanjawan setahun Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Bunganya pula 0.65 peratus sahaja. Dengan terbinanya Zon Perdagangan Bebas oleh Ali Baba yang berdekatan dengan KLIA di Sepang, Kementerian Pertanian akan menyelaraskan lebih banyak peluang perniagaan kepada para petani dan nelayan. Belajawan 2019 ini, serta belanjawan akan datang pada tahun 2020 dan 2021, sebenarnya amat cocok dengan pola pembangunan dan perkembangan Kementerian Pertanian yang berpaksikan pendidikan dan pemasaran yang pantas.

Tidak ada perkara yang harus dirunsingkan selain daripada iklim cuaca sedunia. Namun belanjawan 2019 dan yang akan datang turut bersedia untuk menangani perkara-perkara sebegini berdasarkan pembiayaan kontingen, iaitu belanjawan yang tiba-tiba diperlukan. Oleh itu, jauh mata memandang, dekat lagi peluang dan rezeki yang bakal bertandang. Yang penting, para petani dan nelayan harus mempunyai mentaliti jati diri yang ingin berdikari serta memupuk semangat bekerjasama yang begitu lama bersemadi di sanu bari setiap lapisan masyarakat luar bandar untuk memperkasakan sekuriti pemakanan Malaysia serta serantau, yang memang memerlukan hasil keluaran pemakanan Malaysia.

COMMENTS