Malaysia Dateline

Orang Asli Temiar tuntut kerajaan batal bina Empangan Nenggiri

Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) menuntut kerajaan persekutuan, negeri dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk segera membatalkan pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang.

Pengerusinya, Mustafa Along berkata, pembinaan empangan itu akan menenggelamkan sebanyak 5,384 hektar kawasan hutan yang merupakan tanah adat dan wilayah Orang Asli di Gua Musang.

Hal tersebut jelasnya, turut menenggelamkan sepenuhnya empat penempatan Orang Asli iaitu Pos Tohoi, Pos Pulat, Kampung Wias dan Kampung Bering.

“Daripada ini, sebanyak 1,185 orang daripada 217 keluarga akan dipindahkan ke kawasan lain iaitu di Kampung Kuala Yai.

“Manakala 18 kampung /pos akan terjejas secara tidak langsung di mana kawasan hutan rayau, tanah adat dan wilayahnya akan tenggelam,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam masa sama, JKOAK yang mewakili suara lebih 3,000 Orang Asli daripada 17 wilayah merangkumi ratusan kampung di Kelantan itu menuntut kerajaan persekutuan dan negeri untuk tidak meluluskan aktiviti pembalakan dan perlombongan di kawasan cadangan.

Mereka menegaskan aktiviti pembalakan dan perlombongan terutama di kawasan hutan Gua Musang dan hulu Kelantan menjadi penyumbang utama kepada krisis banjir dan kemarau di negeri itu.

Mustafa juga berkata, pembinaan empangan yang kononnya untuk menyelesaikan masalah banjir, kemarau dan membekalkan bekalan elektrik sebanyak 320 MegaWatt itu juga bakal menenggelamkan kawasan yang mempunyai nilai sejarah penting untuk komuniti Orang Asli Temiar.

Jelasnya, Gua Cha dan Gua Chawas terutamanya menjadi bukti kewujudan awal kaum Orang Asli Temiar selain mempunyai artifak yang membentuk kronologi sejarah awal Kelantan.

“Selain itu, tapak prasejarah yang berdekatan Pos Pulat dan empangan utama yang mempunyai nilai sejarah dan arkeologi yang tinggi, termasuk Gua Keledung, Gua Cahaya, Gua Kecil, Gua Lubang Kelewar, Gua Perdang, Gua Rahmat, Gua Kemiri, & Gua Tok Batin juga bakal tenggelam,” ujarnya.

Oleh sebab itu, katanya, projek yang menyaksikan tiada hebahan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) itu bakal menghapuskan sejarah kewujudan Orang Asli Temiar di Semenanjung Malaysia.