Malaysia Dateline

Orang awam dinasihati tidak ceroboh tanah ATM di 8 negeri

Kementerian Pertahanan hari ini mengingatkan orang ramai agar tidak memasuki kawasan larangan atau menceroboh tanah-tanah yang diklasifikasikan milik kementerian itu di seluruh negara.

Dalam kenyataan hari ini kementerian berkata, terdapat 16 lokasi tanah milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meliputi di lapan buah negeri iaitu di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak telah dicerobohi.

“Sehingga Mei 2019, Kementerian Pertahanan telah mengenalpasti sebanyak 16 lokasi yang terlibat dengan aktiviti pencerobohan.
Bentuk-bentuk pencerobohan pula adalah seperti aktiviti pertanian, pembinaan struktur, pembinaan rumah setinggan dan rumah ibadat serta pembalakan haram,” ujar kenyataan itu hari ini.

Kata kenyataan itu lagi semua tanah yang berkeluasan keseluruhan 1,165,933.73 ekar ini sedang diduduki oleh ATM sebagai tapak-tapak kem tentera, tapak lapang sasar serta kawasan perumahan Angkatan Tentera.

Tanah Kementerian Pertahanan boleh diklasifikasikan kepada empat kategori iaitu Tanah Milik Persekutuan, Tanah Rizab Seksyen 62 Kanun Tanah Negara, Tanah Rizab Fasal 166 Perlembagaan Persekutuan dan tanah di Bawah Akta Maneuver 1983.

Sekiranya berlaku pencerobohan yang tidak terkawal ke atas tanah-tanah tersebut pihak Kerajaan akan mengalami kerugian kerana tanah-tanah milik Persekutuan Kegunaan Kementerian Pertahanan ini telah diduduki secara haram dan tidak mendatangkan hasil kepada Kerajaan;

“Keduanya pendudukan secara haram boleh mendatangkan isu keselamatan terutama tanah-tanah yang dijadikan sebagai kawasan tapak lapang sasar dan Manuver. Ini boleh membahayakan keselamatan penceroboh sekiranya pihak tentera mengadakan operasi dan latihan ketenteraan di kawasan tersebut;

“Ketiga kutipan hasil tanaman dan pertanian oleh tuan-tuan tanah yang tidak layak akan lebih merosakkan tanaman sedia ada dan mengurangkan hasil Kerajaan; dan

“Keempat pencerobohan ini akan membantutkan perancangan pembangunan ATM. Keadaan ini berlaku kerana kesukaran di pihak Kerajaan untuk mengeluarkan pengusaha tanah secara haram dari kawasan yang diceroboh,” ujar kenyataan itu lagi.

Kenyataan turut menyebut antara tindakan-tindakan yang telah diambil oleh Kementerian Pertahanan adalah seperti mengemukakan permohonan melaksanakan penguatkuasaan kepada Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri serta mengeluarkan Notis Pengosongan Tapak kepada pihak penceroboh.

Pihak ATM juga telah mengambil inisiatif dengan mengeluarkan arahan pengawasan dan kawalan ke atas pencerobohan tanah-tanah milik Persekutuan kegunaan ATM. Walau bagaimanapun, bagi memastikan aktiviti pencerobohan ini daripada berleluasa, beberapa cadangan tindakan yang akan diambil oleh Kementerian Pertahanan adalah seperti berikut:

i) Pemasangan pagar di atas keseluruhan tanah dan pemasangan papan tanda Kawasan Larangan atau Kawasan Tentera;

ii) Mewujudkan perjanjian penyewaan atau pajakan tanah tertakluk kepada perancangan pembangunan daripada pihak tentera;

iii) Memohon perintah mahkamah (Court order) bagi memerintahkan penceroboh mengosongkan tapak dan memerintahkan Pihak Berkuasa Negeri untuk menjalankan operasi penguatkuasaan tanah; dan
iv) Penyerahan semula tanah kepada pihak Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG).

Justeru katanya, orang awam adalah dinasihatkan agar tidak menceroboh mana-mana tanah kegunaan Kementerian Pertahanan.

“Sama ada Bagi tujuan penyewaan tanah-tanah milik Persekutuan kegunaan Kementerian Pertahanan pula, orang awam yang berminat perlu mengemukakan permohonan kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).

“Ini kerana tanah-tanah milik Persekutuan kegunaan Kementerian Pertahanan sedia ada telah mempunyai perancangan pembangunan tersendiri. Dikhuatiri akan timbul masalah sekiranya tanah tersebut ingin dibangunkan bagi tujuan pembangunan,” ujarnya kenyataan itu lagi.