Malaysia Dateline

Orang awam jumpa mayat selepas banjir surut

Orang awam terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki di jalan utama ke sebuah pangsapuri Seksyen 22 Shah Alam sebaik sahaja banjir surut.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mayat lelaki tempatan yang berusia dalam lingkungan 30- an itu ditemui orang awam kira-kira 7.50 malam.

“Mangsa adalah penghuni sebuah pangsapuri berdekatan kawasan berkenaan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Terdahulu, satu video berdurasi 14 saat tular di aplikasi media sosial menunjukkan terdapat satu mayat di atas jalan.

Difahamkan mayat berkenaan dijumpai selepas paras air banjir di kawasan itu mula menurun sejak petang semalam.

Kawasan berkenaan adalah antara yang terjejas serta dinaiki air sejak kelmarin susulan banjir kilat yang berlaku di beberapa daerah di Selangor.