Orang awam perlu diperjelas manfaat nuklear, kata NGO

Orang awam perlu diperjelas manfaat nuklear, kata NGO

Orang awam perlu diberitahu dan dididik sewajarnya bahawa kuasa nuklear boleh menyumbang kepada tenaga bersih dan selamat, dan tidak digambarkan sebagai sesuatu yang berbahaya.

Timbalan Presiden ‘Women in Nuclear’ (WiN), sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Datin Zarina Masood berkata kuasa nuklear tidak melepaskan gas rumah hijau dan pencemaran, malah ia memberi manfaat besar kepada industri perubatan.

Sebagai contoh, kata beliau, kuasa nuklear yang digunakan dalam bidang radiofarmaseutikal adalah berguna untuk mengesan sel kanser dengan mudah.

“Bila anda suntik kepada pesakit, ia menuju terus kepada sel kanser oleh kerana radiofarmaseutikal mempunyai radiasi dan kemudian membolehkan doktor menghasilkan diagnosis,” katanya kepada Bernama di forum Kuasa Nuklear Asia yang berakhir semalam.

Beliau berkata teknologi kuasa nuklear telah memberi manfaat kepada lebih daripada 20 pusat perubatan nuklear di Malaysia.

Memperkongsikan pengalamannya selama 30 tahun di bidang berkenaan Zarina berkata bekerja di tapak radiasi tidak membahayakan selagi kawasan kerja kekal selamat dan bersih.

Beliau berkata WiN juga terlibat aktif dalam program membabitkan orang awam termasuk seminar, dan menggalakkan penerangan positif mengenai tenaga nuklear kepada orang awam.

TAGS