Orang baling tayar ke bawah flat tidak layak tinggal di situ, kata menteri

Orang baling tayar ke bawah flat tidak layak tinggal di situ, kata menteri
Muhammad Iqmal Abdul Razak, terpaksa menerima 15 jahitan di kepala selain luka pada bahagian siku.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad menyifatkan orang yang membaling tayar ke bawah dari atas flat sehingga mencederakan orang lain tidak layak tinggal di flat atau perumahan milik kerajaan lagi.

“Orang yang buang tayar itu, kalau kita dapat kenal pasti dan dia penyewa flat DBKL, kita akan beritahu dia bahawa dia tidak layak duduk di flat DBKL kerana dia tidak tahu bagaimana cara hidup di flat.

“Dia tidak boleh baling barang dari atas ke bawahkan,” kata Khalid mengulas kejadian seorang budak cedera kerana terkena tayar yang dibaling ke bawah flat.

Bagi beliau, penghuni flat kena memahami budaya hidup di flat untuk membolehkan mereka kekal tinggal di situ.

Khalid bersama Datuk Bandar dan KSU dalam sidang media hari ini.

“Rakyat dan warga flat kena amal budaya hidup yang lebih munasabahlah, bukan cara itu,” kata Khalid.

Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun nyaris maut selepas terkena tayar basikal yang dibuang dari tingkat atas flat dalam kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia Blok 41 9.30 pagi 2 November lepas.

Susulan itu, mangsa, Muhammad Iqmal Abdul Razak, terpaksa menerima 15 jahitan di kepala selain luka pada bahagian siku.

Muhammad Iqmal berkata, ketika kejadian, dia baru saja turun dari rumahnya di tingkat enam untuk pergi ke tempat kerja.

Katanya, ketika berada di bawah flat itu, dia sedang berjalan sambil berbual dengan seorang rakannya.

“Ketika berbual, tiba-tiba bahagian kepala terasa macam meletup seperti ada benda berat menimpa. Saya rasa melayang seperti mahu pitam dan sakit di bahagian atas kepala,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Ketika menjelaskan perkara ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham berkata, pihaknya akan mengkaji keperluan flat-flat khasnya yang terletak di bawah DBKL bagi mengelakkan kejadian yang serupa berlaku.

“Kita akan kaji keperluan flat-flat ini. Mungkin kita kena buat bumbung untuk orang berjalan di bawahnya ataupun pukat,” kata beliau.

COMMENTS