Orang bawahan dan meratap di ‘kubur’ pejuang

Orang bawahan dan meratap di ‘kubur’ pejuang

Mengenang kembali mereka yang telah lama berjuang untuk mendapatkan negeri Johor ini, pastinya sebak akan menyelubungi dan terkadang suram juga menjelma. Terkadang bila ditanya ke mana si ‘anu’ itu pergi, pasti jawapan yang hinggap akan menghampakan.

Bukan mengenang kembali nostalgia dan terjerumus di dalamnya tanpa keluar memikirkan masa depan tetapi itulah hakikat perjuangan pastinya nostalgia yang menjadi pengalaman itu adalah cerminan terbaik untuk kita sama-sama hadapi.

Sehingga kini rumah yang telah siap dibina namun pahat terus berbunyi. Atas dasar perkara yang perlu disiapkan atau disempurnakan terkadang wujud kepimpinan yang tidak memandang langsung atau kurang pandang kepada orang bawahan mereka.

Perkara ini lazim di setiap negeri, namun apa yang akan difokuskan adalah berkenaan dengan negeri Johor. Baru-baru ini ada seorang dari ahli ‘otai’ mulai bersuara berkenaan dengan tindakan kerajaan PH Johor yang dilihat lemah dari setiap segi.

Bukan dia seorang sahaja yang bersuara malah suaranya itu disambut kuat oleh ahli otai dan separa otai yang lain. Hal ini berbangkit selepas usia genap setahun PH memerintah negeri ini dan apa yang dibahaskan oleh mereka adalah berkisarkan soal tindakan yang kurang tegas terhadap beberapa agensi atau jabatan yang lain.

Mereka bukanlah mahukan jawatan walaupun ada di segelintir darinya yang menagihkan perkara tersebut namun apa yang ikhlas lahir dari hati mereka adalah berkenaan dengan membina kekuatan parti atau pakatan dalam menghadapi dengan masyarakat.

Kerisauan merekalah yang membuatkan suara emas otai-otai ini terkeluar dan akhirnya ia mewujudkan kegusaran di hati ramai ahli serta ukuran prestasi pemimpin kini mula diperkatakan dengan lebih terang.

Persoalan yang timbul adakah suara-suara emas ini bercakap tanpa berpijak pada realiti? Sekiranya ada yang menghukum dengan menyatakan sedemikian bagi saya itu adalah pandangan yang dangkal kerana tidak ada seorang pemimpin di dunia ini yang mampu memimpin sekiranya tidak mempunyai pengaruh dari pengikut peringkat bawahan.

Perkara ini rasional dan ia masih lagi boleh dibentuk sekiranya pemimpin benar-benar mengambil langkah terus mendekati otai-otai tersebut serta mendengar luahan mereka lantas memperbaiki segala kesilapan.

Terdapat pemimpin terutamanya di kalangan pimpinan negeri hari ini yang dilihat mulai sombong serta mulai kurang mesra dengan orang bawahan. Ada pula yang lebih meraikan golongan mentah yang baharu masuk ke dalam parti-parti komponen PH serta yang paling menyedihkan terdapat ramai di antara mereka yang melakukan sedemikian adalah bekas dari parti musuh.

Ia akan cenderung untuk lahirnya gejala siapa yang mampu membodek ia akan juara dalam perlumbaan ini. Pastinya otai yang tidak tahu untuk membodek setelah sekian lama itu akan dipinggirkan.

Lebih menyedihkan otai yang masih menanam perasaan pertalian sahabat tersebut mulai menjadi sangsi apabila pemimpin yang merupakan sahabat mereka itu tidak lagi menghiraukan mereka. Pengorbanan ini memang pahit untuk ditelan bagi sesetengah individu dan segalanya terbuku.

Seharusnya dikenang perit jerih perjuangan bagi mendapatkan negeri Johor ini dari pemerintahan Umno-BN sebelum ini. Ada individu yang jatuh perniagaanya kerana berjuang, ada yang mengadai gelang isteri untuk membuat tambang, jual tanah untuk diwakafkan kepada parti, berkorban masa dan risiko untuk mendapatkan kemenangan di negeri ini.

Hakikatnya perkara itu adalah sesuatu yang mahal dan tak mampu untuk dibeli oleh sesiapa sekali pun. Namun kini apa yang berlaku menjadi sebaliknya dan apa yang diharapkan ibarat menanam benih delima tapi peria pahit yang tumbuh.

Begitulah perasaan yang dilahirkan oleh otai-otai yang sanggup mempertaruh nyawa sebelum ini untuk mendapatkan negeri ini. Luahan mereka bukan untuk merosakkan diri seorang pemimpin malah ia menegur untuk pembinaan diri seorang pemimpin.

Yang paling menyedihkan lagi apabila blok-blok mula diwujudkan oleh pemimpin. Siapa yang tak suka kepada mereka akan disingkirkan lalu pemimpin tersebut membina empayar yang baru dengan menyusun muka baru sebagai blok penyokong mereka.

Perkara tersebut lagilah menyedihkan dengan mereka yang menegur akan terus dipinggirkan kerana dilihat bertentangan dengan diri mereka (pemimpin). Usahkan untuk berubah malah dipulaukan pula mereka yang menegur cara kerja kepimpinan.

Inilah hakikat yang berlaku selepas setahun PH mentadbir negeri ini. Segala apa yang dihajati dan dibayangkan tidak terlaksana dengan jitu apabila batu sempadan kesombongan yang diyakini orang bawahan mulai menjelma di jiwa pemimpin.

Ada yang berkata ‘lebih baik tak menang dari menang kita akan hilang kawan yang kita sayang’. Perkara tersebut kerap didengari dan didendangkan oleh mereka yang digelar pejuang untuk memenangkan negeri ini.

Perit jerih ini mungkin tidak dirasai bagi mereka yang baharu saja bersama waima parti yang baharu bersama. Pengalaman bergaduh, dihalau dengan parang, ditumbuk, dipukul, disembur air oleh polis atau yang lebih menyayat hati dipenjara bukan sesuatu yang mampu dipadamkan dalam ingatan pejuang-pejuang seperti otai tersebut.

Hari ini, otai yang mengharungi semua itu mulai menyembur suara agar tindakan perlu dijalankan dengan segera bagi mempertahankan pemerintahan di negeri ini. Pada 9 Mei yang lalu, Naib Pengerusi AMANAH Johor berkata ‘cukup setahun tempoh PH belajar selok belok pentadbiran’ maka ia seperti memberi isyarat bahawa fokus kepada perkara berbangkit perlu diselesaikan.

Sudah tiba masanya pembangunan hati dan akal perlu dijalankan bagi menyesuaikan diri serta mengimbangi kembali keadaan kucar kacir yang sedang berlaku. Jangan dibiarkan perkara ini dari terus berlarutan dan tidak ada salahnya mendengar cakap orang bawahan yang merupakan sahabat kita suatu ketika dulu.

Pejuang-pejuang ini telah diasaskan untuk menjadi seorang pemberani dan ia tidak akan diam selagi diri mereka tidak disantuni dengan baik. Raikanlah mereka kerana kelak yang menjadi kerisauan pemimpin yang hari ini memimpin akan menjadi tukang pasang bendera seorang diri ketika PRU nanti.

Jangan nanti ada yang meratap di kubur pejuang dengan membahasakan perkataan ‘maaf’ selepas mereka kalah dalam PRU yang akan datang.