“Orang besi pun boleh menangis”

“Orang besi pun boleh menangis”
Mike menerima kunci rumah bernilai RM198,000 serta perabut yang bernilai RM30,000 sebagai sumbangan ke atas kejayaan beliau mengharumkan nama negara dalam bidang sukan bina badan.

“Orang besi pun boleh menangis,” kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad ketika mengulas jaguh bina badan negara Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah yang tidak boleh terus bercakap kerana terharu dengan hadiah yang diterima.

Itulah yang berlaku semalam ketika Syarul Azman yang lebih dikenali sebagai Mike menerima kunci dan memasuki rumahnya di perumahan Jalilmas, Kuala Lumpur.

Mike meluahkan rasa syukurnya selepas menerima bantuan rumah di Bukit Jalil itu sehingga tidak dapat meneruskan ucapannya kerana sangat terharu.

Beliau menyifatkan sumbangan tersebut sebagai pemangkin semangat.

“Bantuan ini memudahkan saya menyediakan diet seimbang apabila saya boleh masak sendiri, boleh berehat dengan tenang (di rumah sendiri) selepas penat buat latihan,” katanya.

Mike menerima sumbangan rumah di Residensi Jalilmas bernilai RM198,000 daripada pemaju Aset Kayamas Sdn Bhd atas inisiatif yang dibuat oleh Khalid.

Majlis serahan kunci disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad dan dihadiri Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pangsapuri 800 kaki persegi itu mempunyai tiga bilik dan dua bilik air, diubah suai serta dilengkapi sepenuhnya dengan perabot dan barang-barang elektrik bernilai kira-kira RM30,000 yang ditaja sepenuhnya oleh Aset Kayamas.

Atlet 45 tahun itu menerima sumbangan berkenaan ekoran kejayaan beliau menjadi juara dunia bina badan tiga kali berturut-turut dari 2016 hingga 2018 dan juara Asia empat kali berturut-turut pada 2015 hingga 2018.