Malaysia Dateline

Orang cerdik tidak akan putar belit arahan Agong

Individu yang cerdik tidak akan memutar belit arahan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terutama selepas baginda mengulangi gesaannya agar Parlimen bersidang secepat mungkin.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kerajaan pimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin agar tidak angkuh, sombong dan biadab dengan terus membawa teori pembukaan Parlimen pada Ogos mahupun September.

Beliau turut menyentuh tentang gesaan Agong supaya Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan

“Ini maknanya kita perlu bincang ordinan itu sebelum 1 Ogos dan sidang itu mestilah dilakukan segera dalam waktu singkat.

“Janganlah Speaker nak cerdik pandai sangat, nak tunjuk dia tahu peraturan yang orang lain kononnya tak tahu
Dia pun baru je dalam Parlimen ini.

“Peraturan membolehkan beliau (Speaker) menetapkan dalam keadaan dan kes tertentu, iaitu menyegerakan Parlimen dengan kelulusan Perdana Menteri supaya (darurat) dapat dibahaskan sebelum 1 Ogos,” katanya dalam satu siaran video di Facebooknya tadi.

Sementara itu, Anwar yang juga ketua pembangkang turut mengulas tentang gesaan Agong bahawa Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke- 14 hendaklah menyegerakan sesi mesyuaratnya untuk pelaksanaan mekanisma semak imbang bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus..

Menurutnya, ketika ini tidak berlaku semak dan imbang, tetapi yang ada hanyalah cubaan kerajaan PN untuk merompak sesuka hati.

“Bayangkan sebuah kerajaan tak terasa malu dan diaibkan bila Agong memberi gesaan sedemikian kerana saya yakin Agong hanya menyuarakan pandangan majoriti Ahli Parlimen dan rakyat dalam negara.

“Saya mendesak supaya kerajaan ini lebih bertanggungjawab. Kalau mereka enggan kerana alasan tertentu, sewajarnya Perdana Menteri letak jawatan sekarang,” katanya lagi.